SHAH ALAM – Menyedari keperluan masyarakat Islam hari ini yang bukan sekadar mahu membaca tetapi memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran, penerbit tersohor Karya Bestari terus komited menerbitkan mushaf al-Quran yang berkualiti, berinovasi dan bersasar.
Pengarang Penerbitan al-Quran Karya Bestari, Ustaz Mohd Hasrul Wahab berkata, menerusi pendekatan berasaskan inovasi produk, kualiti penerbitan dan segmentasi pembaca, Karya Bestari tampil menerbitkan pelbagai edisi mushaf al-Quran yang menepati keperluan masyarakat dari pelbagai lapisan masyarakat, daripada pembaca umum hingga kepada peringkat penghafaz.
“Selain memudahkan untuk membaca, umat Islam mampu memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran sebagai panduan hidup. Selain menerbitkan mushaf yang menarik, Karya Bestari juga terlibat dalam menggerakkan kempen #QuranHour yang diterajui oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
“Antara ciri istimewa al-Quran terbitan Karya Bestari adalah terdapat pelbagai saiz, jenis kertas, tajwid berwarna, panduan memberhenti dan memulakan bacaan, terjemahan perkata, tafsir tematik dan sebagainya.”
Tambahnya, segala proses tersebut melalui satu proses yang teliti, berperingkat dan melibatkan para ilmuwan. Kajian dan perbincangan dilakukan berdasarkan keperluan pasaran di Malaysia. Reka bentuk dan warna mestilah menepati sasaran seperti warna lembut untuk Muslimah dan warna elegan untuk umum. Kandungan tambahan dan pemilihan tafsir juga dibuat secara terperinci berdasarkan sumber yang muktabar dan disemak oleh pihak berautoriti.
“Al-Quran terbitan Karya Bestari mempunyai sasaran yang berfokus meliputi semua golongan seperti pelajar, Muslimah, penghafaz dan pembaca umum. Sebagai contoh Mushaf al-Kubra bersaiz A3 dan al-Andalus bersaiz B4 yang tulisannya besar sangat sesuai untuk orang yang berusia atau mempunyai masalah penglihatan.
“Bagi golongan kanak-kanak yang ingin mula menghafaz al-Quran pula boleh menggunakan al-Quran Tahfiz Junior. Kami juga mempunyai al-Quran Noble yang berbahasa Inggeris untuk pembaca antarabangsa.
“Antara terbitan Karya Bestari terkini adalah Mushaf Tahsin bersaiz A5 yang menampilkan panduan khas bacaan hamzah wasal dan nun wiqayah, bagi membantu umat Islam memperbaiki sebutan dan makhraj dengan lebih tepat,” katanya.
Mohd Hasrul menegaskan bahawa Karya Bestari sentiasa mematuhi garis panduan yang disediakan oleh pihak berautoriti agar al-Quran yang diterbitkan adalah tepat dan boleh digunakan tanpa ragu.
Tambahnya, setiap mushaf yang ingin diterbitkan akan melalui semakan berperingkat yang melibatkan pihak dalaman dan luaran seperti panel yang dilantik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Semua al-Quran terbitan Karya Bestari mendapat semakan dan kelulusan oleh Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN)," jelasnya.
Menurutnya, Karya Bestari menghasilkan mushaf fizikal yang berkualiti tinggi sama ada dari segi penyampaian ilmunya mahupun reka bentuk menarik yang eksklusif.
"Al-Quran bercetak mampu memberikan nilai emosi dan spiritual yang lebih mendalam berbanding digital. Al-Quran fizikal juga boleh dijadikan sebagai hadiah, koleksi peribadi serta kegunaan waqaf di masjid dan sekolah," ulasnya.
Ujarnya, aspirasi utama Karya Bestari dalam menerbitkan al-Quran bukan sekadar memenuhi permintaan pasaran, tetapi lebih besar daripada itu iaitu menjadikan al-Quran sebagai sistem operasi dalam kehidupan masyarakat Islam.
"Harapan kami supaya slogan 'Baca, Faham dan Amal' dapat dilaksanakan dan diterapkan melalui al-Quran Karya Bestari yang tersebar ke seluruh dunia.
“Perancangan kami pada masa depan ialah mengaplikasikan teknologi digital dalam mushaf yang diterbitkan seperti penggunaan QR kod untuk memperdengar bacaan qari terkenal. Di samping menyediakan kandungan tambahan yang berkualiti dan topik yang dekat dengan masyarakat supaya mereka mendapat manfaat yang lebih banyak,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang https://karyabestari.com