KUANTAN – “Saya nampak abang terkapai-kapai, tapi saya ingat dia bergurau,".
Demikian kata Syed Abu Bakar Syed Mohd Ali Hanafiah, 25, adik kepada Syed Alwi, 30, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Kuantan dekat Tanah Putih di sini, pada Rabu.
Syed Abu Bakar yang juga OKU berkata, mereka keluar bersama sekitar jam 3 petang untuk memancing selepas abangnya secara tiba-tiba menyatakan hasrat mahu mengikutinya.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, abangnya mengadu berasa panas sebelum terus terjun ke dalam sungai walaupun pada awalnya hanya menemani dari tebing.
“Saya sedang duduk tidak jauh dari tebing, dia (abang) pula mandi di kawasan tengah sungai. Mula nampak dia mandi di kawasan cetek sebelum ke tengah sungai.
“Tapi tidak lama selepas itu, nampak dia terkapai-kapai dan saya tidak sempat hendak tolong sebab dia terus tenggelam dan hilang dibawa arus," katanya ketika ditemui di rumahnya di Tanah Puteh di sini pada Khamis.
Anak ketiga daripada empat beradik itu memberitahu, kejadian berkenaan merupakan kali pertama mereka ke lokasi tersebut untuk memancing memandangkan abangnya jarang keluar rumah.
Katanya, sebaik menyedari kejadian itu, dia segera memaklumkan kepada keluarga sebelum bantuan diminta daripada pihak berkuasa.
Sementara itu, bapa mangsa, Syed Mohd Ali Hanafiah Tuan Embong, 64, berkata, diau tidak menyangka anak sulungnya itu keluar rumah kerana kebiasaannya hanya duduk di rumah dan bermain telefon.
Menurutnya, ketika kejadian dia tiada di rumah dan hanya mengetahui mengenai insiden itu selepas dimaklumkan oleh ahli keluarga.
“Anak saya tidak menunjukkan sebarang perubahan dalam beberapa hari ini, tapi saya tak sangka dia ikut adiknya keluar memancing.
"Kebiasaannya dia hanya di rumah saja dan tidak akan ke mana-mana,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Syed Alwi Syed Mohd Ali Hanafiah, 30, dikhuatiri lemas selepas mandi di Sungai Kuantan dekat Kampung Tanah Putih, pada Rabu.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa bersama adiknya yang juga OKU ke lokasi kira-kira jam 3 petang sebelum dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras.
Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dilakukan.