Waris Ku Adib Aizad terima pampasan, pinjaman dilupuskan

Iklan
Amirudin (kanan) menyampaikan pampasan kepada waris Ku Adib Aizad.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyalurkan wang pampasan daripada wang perlindungan takaful pinjaman pembelajaran berjumlah RM20,803.67 kepada waris Ku Adib Aizad Ku Azmi yang maut selepas dirempuh sebuah kereta berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada 9 Oktober tahun lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri turut mengambil keputusan untuk melupuskan baki pinjaman pendidikan Allahyarham berjumlah RM15,050 di bawah Tabung Kumpulan Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS).

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif itu sebagai tanda prihatin dan penghargaan kepada kecemerlangan Allahyarham yang juga penerima dermasiswa Yayasan Selangor.

"Pada malam ketika saya menziarahi keluarga Allahyarham, apabila dimaklumkan beliau adalah penerima dermasiswa, saya berjanji akan usahakan pengecualian pembayaran sebagaimana amalan dalam kes pinjaman PTPTN apabila peminjam meninggal dunia.

Iklan

"Walaupun tiada nilai yang mampu mengganti kehilangan anak tersayang, saya harap usaha kecil ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban keluarga.

"Al-Fatihah buat Allahyarham Ku Adib Aizad serta dua lagi rakannya yang turut terkorban. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini dilaporkan, tiga penuntut UiTM itu maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera selepas motosikal Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135 LC yang dinaiki mereka dirempuh sebuah Honda CR-V yang dipandu seorang wanita.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 malam itu di hadapan pintu masuk universiti berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian, keempat-empat mangsa baru sahaja selesai menikmati makan malam dan sedang dalam perjalanan pulang ke kampus berkenaan.

Mangsa yang maut ialah Ku Adib Aizad dan Khairil Anwar Jamaludin, masing-masing berusia 20 tahun.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, turut meninggal dunia di lokasi berikutan kecederaan akibat patah tulang leher dan cedera pada bahagian kepala serta dada.