BESUT – [DIKEMAS KINI]"Empat kali saya turun naik semula ke van… hanya semata-mata kerana ingin cium semula bau wangi ditinggalkan jenazah yang sukar saya gambarkan dengan kata-kata."
Demikian luah pemandu van jenazah Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Roslee Hamzah, 57, yang berkongsi pengalaman istimewa ketika menguruskan penghantaran jenazah Allahyarham Nurly Shahirah Azman, 23, salah seorang mangsa tragedi kemalangan bas di Gerik, Perak.
Menurut Roslee, sejak mula memandu van jenazah dua tahun lalu, dia belum pernah melalui pengalaman istimewa seperti itu.
"Van ini dibeli khas oleh YB Azbi Salleh (ADUN Kuala Besut) untuk tujuan khidmat komuniti dan kita juga jalin kerjasama dengan Pertubuhan Amal Komuniti Besut.
"Ketika dapat tahu jenazah arwah di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), saya memang berhajat sangat untuk bawa pulang jenazah arwah.
"Dalam perjalanan, saya niat begitu… dan saya bersyukur kerana ALLAH SWT izinkan saya tunaikan hasrat itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Khamis.
Roslee berkata, sebaik urusan pengebumian jenazah Nurly Shahirah selesai kira-kira jam 4 pagi pada Selasa lalu, dia pulang ke rumah dan menjemur van seperti biasa.
Namun, katanya, menjelang petang, ketika ingin mengambil barang tertinggal dalam van, dia terhidu bau wangi yang tidak pernah dihidu sebelum ini.
"Bukan bau minyak wangi biasa. Ia datang secara halus, bau itu amat wangi dan menenangkan, ia muncul tiba-tiba sebaik saya buka pintu van jenazah.
"Saya ingat habis di situ saja, tapi menjelang Maghrib, bila saya buka pintu van semula, haruman itu datang lagi. Saya ulang-alik empat kali ke van hanya semata-mata untuk rasa dan hayati bau wangi itu.
"Keesokan paginya, bila saya buka lagi van… bau itu sudah hilang. Itu pengalaman pertama yang amat istimewa dan sukar untuk saya lupakan," katanya.
Sebelum ini, tular video berdurasi dua minit 45 saat di Facebook milik abang Allahyarham Nurly Shahirah, Mohd Najmuddin Azman, 28, yang berkongsi luahan Roslee mengenai pengalaman tersebut.
*"Semasa perjalanan, 'driver' ini berhajat sangat nak bawa adik saya balik. Ditakdirkan Allah, hajat itu dimakbulkan.
Semoga syurga buatmu dik," tulisnya.
Allahyarham Nurly Shahirah merupakan pelajar Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), UPSI, dan antara 15 penuntut yang terkorban dalam nahas bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi Isnin lalu.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu itu juga merupakan seorang hafizah 30 juzuk, dan hasil tulisan tangan al-Quran miliknya menjadi tumpuan orang ramai ketika menziarahi keluarganya di Kampung Gong Pasir, Kerandang, di sini pada Rabu.
Antara yang menarik perhatian ramai dalam kunjungan itu ialah Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.