'Kami bukan sahaja hilang adik, tapi 'ibu' - Abang Nor Ayuni

Iklan
Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarhamah Nor Ayuni Maslan, 21, mangsa nahas kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik di Perak pada Isnin disifatkan sebagai seorang adik periang serta 'ibu' yang bertanggungjawab pada keluarga.

JERTEH - Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarhamah Nor Ayuni Maslan, 21, mangsa nahas kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik di Perak pada Isnin disifatkan sebagai seorang adik periang serta 'ibu' yang bertanggungjawab pada keluarga.

Abangnya, Ahmad Azizol, 26, berkata, semenjak pemergian ibu mereka 10 tahun lalu Nor Ayuni yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik itu menggalas tanggungjawab sebagai 'ibu' seawal usia 11 tahun.

Iklan
Iklan

"Kehilangan Nor Ayuni sangat sukar bagi kami kerana dia bukan sahaja adik tetapi ibu. Bagaimanapun kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku.

"Kami ada seorang lagi kakak, tetapi sudah berkahwin. Jadi, Nor Ayuni yang jaga makan minum serta urusan rumah.

Iklan

"Dia pandai memasak, minta sahaja hendak makan apa Nor Ayuni mesti masakkan," katanya dalam nada sebak ketika ditemui di rumah di Felda Tenang, di sini pada Rabu.

Hanya gambar serta pakaian yang dapat melepaskan rindu mereka kepada Nor Ayuni.

Menurut dia, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian (Pengembangan Pertanian dengan Pendidikan) itu juga seorang yang kreatif apabila mencipta pancuran air yang di pasang di atas bumbung rumah bagi memastikan kediaman sentiasa sejuk semasa cuaca panas.

Iklan

Ujarnya, semua itu dilakukan bagi memastikan ayah, Maslan Abd Rahman, 58, serta abang-abangnya dapat menjalani kehidupan yang selesa di rumah.

Ahmad Azizol memberitahu, arwah sering menjadi tempat mereka meluahkan perasaan serta berkongsi masalah kerana sikap penyayang serta mengambil berat yang ada padanya.

"Kami mengetahui tentang kejadian yang menimpa adik jam 4 pagi pada Isnin dan sehingga saat itu sampailah sekarang masih lagi tidak dapat melelapkan mata, terutamanya ayah.

"Paling saya tidak dapat lupakan apabila terpaksa membuat pengecaman sebanyak empat bagi mengesahkan jenazah adalah Nor Ayuni. Saya cam dia berdasarkan hidung dan gigi," katanya.

Menurut anak keenam itu, sehari sebelum kejadian mereka sempat meraikan hari jadi Nor Ayuni yang dilahirkan pada tarikh 6 Jun.

Ujarnya, Nor Ayuni yang bercita-cita menjadi seorang guru itu cukup ceria serta sepanjang percutiannya semasa Hari Raya Aidiladha tiada perubahan sikap yang ditunjukkan.

"Nor Ayuni seperti biasa, ceria. Sekarang semua itu tinggal kenangan," katanya.

Ahmad Azizol memberitahu, jenazah Nor Ayuni dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Tenang.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dalam kejadian sekitar jam 1 pagi pada Isnin itu, 15 pelajar disahkan meninggal dunia sementara 27 yang lain cedera.

Turut cedera ialah pemandu bas dan kelindannya yang berusia 39 serta 54 tahun.

Nahas dipercayai berlaku apabila bas dalam perjalanan dari Terengganu ke Kampus UPSI di Tanjung Malim itu melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan hilang kawalan sebelum terbalik merempuh pembahagi jalan.