Malaysia catat pelaburan diluluskan RM89.8 bilion pada suku pertama 2025
Iklan
Malaysia catat RM89.8 bilion pelaburan diluluskan pada suku pertama 2025 melibatkan 1,556 projek.
MALAYSIA mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM89.8 bilion bagi suku pertama 2025, peningkatan 3.7 peratus tahun ke tahun meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, pelaburan ini merangkumi 1,556 projek dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama yang dijangka menjana lebih 33,300 pekerjaan baharu untuk rakyat negara ini.
Iklan
Iklan
"Jumlah pelaburan ini mencerminkan keyakinan berterusan para pelabur terhadap dasar yang jelas serta asas jangka panjang negara, bertentangan dengan aliran pelaburan global yang lebih berhati-hati akibat ketidaktentuan geopolitik dan makroekonomi serta persaingan global yang semakin sengit untuk mendapatkan pelaburan baharu.
"Pelaburan asing mendominasi landskap pelaburan, dengan sumbangan RM60.4 bilion atau 67.3 peratus daripada jumlah pelaburan, manakala pelaburan tempatan kira-kira RM29.4 bilion atau 32.7 peratus," katanya.
Iklan
Selain peluang pekerjaan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, peningkatan indeks Pengurusan, Teknikal dan Penyeliaan (MTS) kepada 46.3 peratus daripada 44.2 peratus bagi tempoh yang sama tahun lepas mencerminkan kejayaan negara ini dalam mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan gaji yang lebih baik.
"Dengan usaha memperkukuh integrasi ekonomi ASEAN, satu keutamaan semasa Malaysia mempengerusikan ASEAN, kita turut berazam untuk mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan dan perkhidmatan utama bagi rantau yang pesat membangun ini yang berpopulasi 680 juta,” katanya.
Iklan
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Sikh Abdul Majid berkata, projek yang berjaya diraih MIDA bagi suku pertama 2025 menyokong usaha nasional membina ekonomi yang lebih meluas dan berdaya tahan.
"Untuk terus menjadi destinasi pilihan syarikat berprestasi tinggi, kami akan memperkukuh ekosistem tempatan sebagai pemudah cara dan melengkapkan tenaga kerja negara bagi merebut peluang pekerjaan dan kepimpinan baharu.
"Dengan memastikan Malaysia kekal relevan dalam rantaian nilai global, kita boleh menarik dan mengekalkan pelaburan yang memberi manfaat jangka panjang kepada ekonomi, syarikat tempatan dan rakyat,” katanya.
Sehingga 10 Jun, 2025, MIDA sedang giat menguruskan projek dalam cadangan yang bernilai RM48.5 bilion.
"Sektor perkhidmatan memacu momentum ini dengan 683 projek bernilai RM27.6 bilion, manakala sektor pembuatan menyumbang RM20.9 bilion menerusi 89 projek.
"Sebagai pelengkap kepada projek dalam cadangan itu, terdapat tambahan RM59.3 bilion dalam potensi pelaburan bernilai tinggi yang sedang dalam rundingan. Angka ini bukan sahaja mencerminkan minat pelaburan yang kukuh, malah keyakinan yang semakin meningkat terhadap asas ekonomi dan hala tuju dasar Malaysia,” katanya. - Bernama
Hamidah Sulaiman, 51, yang juga usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berkata, perjalanan lebih 18 tahun dalam dunia keusahawanan membuktikan industri makanan tradisional masih relevan serta berpotensi besar jika diusahakan secara strategik dan berdisiplin.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/762391/bisnes/daripada-dapur-rumah-ke-kilang-sendiri
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.