KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Permit syarikat pengendali bas yang terlibat dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berdekatan Tasik Banding, Gerik pada 9 Jun lalu, yang mengorbankan 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dibatalkan serta-merta.
Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pada sidang media khas sebentar tadi.
Menurut beliau, walaupun terdapat proses rayuan berkaitan pembatalan permit, dalam kes berkenaan ia tidak akan dilayan.
"Saya telah mengarahkan APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) untuk membatalkan permit syarikat terlibat serta-merta selepas tempoh surat tunjuk sebab tamat.
"Walaupun ada proses rayuan dibuat, kita tidak akan layan dan lesen tetap akan dibatalkan serta-merta kerana ia adalah kecuaian yang tidak boleh dimaafkan," katanya pada Rabu.
Pada Isnin pagi, seramai 15 pelajar UPSI maut apabila bas persiaran yang dinaiki mereka terbalik selepas hilang kawalan, lalu melanggar penghadang jalan dan turut membabitkan Perodua Alza di JRTB Banun berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.
Bas berkenaan membawa 42 pelajar, terdiri daripada lapan lelaki dan 32 perempuan, berusia lingkungan 21 hingga 23 tahun yang berasal dari Pantai Timur.