Pemandu bas positif dadah ditahan

Iklan
JPJ Kuala Lumpur melaksanakan Op HRAA di Plaza Tol Gombak pada Selasa.

GOMBAK – Seorang pemandu bas ekspres yang dalam perjalanan ke Kemaman, Terengganu ditahan selepas saringan awal air kencing didapati positif dadah, pada Selasa.

Penahanan lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang didapati positif morfin itu dibuat semasa Op Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2025 yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur di Plaza Tol Gombak.

Iklan
Iklan

Sinar Harian difahamkan, bas yang membawa penumpang itu dalam perjalanan dari Lumut, Perak.

Difahamkan, pemandu tersebut kemudian ditahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Iklan

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi yang bermula jam 1 petang itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), AADK serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menurutnya, sebanyak 60 kenderaan telah diambil tindakan hasil pemeriksaan terhadap 620 kenderaan.

Iklan

"JPJ telah mengeluarkan 109 notis saman P(22), 19 notis arah periksa di bawah Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta 11 kes di bawah Seksyen 63(1) APJ 1987 yang melibatkan arahan menimbang kenderaan.

"Sebanyak 139 kesalahan direkodkan, dengan cukai jalan tamat tempoh mencatat jumlah tertinggi iaitu 33 kes. Ia diikuti tiada lesen memandu (28 kes), tiada perlindungan insurans (28 kes), cermin gelap (15 kes), nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi (10 kes), dan selebihnya lain-lain kesalahan,” katanya dalam sidang akhbar di Stesen Penguat Kuasa JPJ Gombak, pada Selasa.

Beliau berkata, pihak MOTAC turut mengesan dua buah bas persiaran yang tidak mematuhi peraturan kerana tidak menggunakan khidmat pemandu pelancong.

Katanya, pemandu bas telah diambil keterangan oleh MOTAC sebelum pemilik syarikat dipanggil untuk tindakan lanjut.

Tambah Hamidi, AADK telah memeriksa 44 orang pemandu, manakala JSPT memeriksa 312 kenderaan dengan 71 notis saman dikeluarkan.

Dalam pada itu, bagi tempoh enam hari pelaksanaan Op HRAA 2025, JPJ Kuala Lumpur telah menyita 26 kenderaan, terdiri daripada 23 motosikal, dua kereta serta sebuah lori hasil pemeriksaan ke atas 33,988 kenderaan, selain 2,437 notis dikeluarkan.

"Op HRAA ini merupakan bukti komitmen JPJ Kuala Lumpur dalam memastikan keselamatan seluruh pengguna jalan raya. Pencapaian ini menjadi asas kepada usaha berterusan untuk mempertingkatkan keselamatan serta kecekapan operasi,” ujarnya.