Dua malam di tengah laut, sindiket seludup PATI akhirnya ditangkap

Iklan
Abdul Muhaimin menunjukkan paparan gambar di lokasi kejadian tangkapan sindiket penyeludupan PATI di perairan Sungai Besar, Selangor pada Sabtu. Foto: Asril Aswandi Shukor

KLANG - Perjalanan penuh risiko selama dua malam di tengah laut dari Tanjung Balai, Indonesia berakhir dengan kegagalan apabila taktik sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan bot nelayan ditumpaskan di perairan Sungai Besar, dekat sini pada Sabtu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot nelayan tempatan kelas C yang bergerak dalam keadaan mencurigakan ketika menghampiri muara sungai itu ditahan pihaknya kira-kira jam 12.35 tengah malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semasa pemeriksaan hendak dilakukan anggota operasi, vesel terbabit enggan memberi kerjasama.

"Tekong bertindak agresif sebelum berlaku pergelutan dengan anggota Maritim Selangor yang hendak melakukan pemeriksaan.

Iklan

"Tekong telah bertindak terjun ke laut bagi meloloskan diri namun berjaya ditahan, manakala vesel tersebut tersangkut di muara akibat air surut," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Maritim Selangor di sini pada Ahad.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan seorang tekong dan dua awak-awak warga Indonesia berusia antara 35 hingga 59 tahun.

Iklan

Tambahnya, turut ditahan ialah 27 PATI warga Indonesia termasuk tujuh wanita berusia lingkungan 22 hingga 70 tahun.

Dedah Abdul Muhaimin, kegiatan terbabit dipercayai mempunyai jaringan sindiket tempatan dan negara jiran dengan mengenakan caj setiap seorang PATI sebanyak RM2,000 hingga RM2,500.

"Sindiket bertolak dari Tanjung Balai dan dipercayai berada dua malam di tengah laut bagi urusan transit.

"PATI itu 'dipindahkan' ke bot tempatan sebelum cuba dibawa masuk melalui jeti nelayan yang sah di Sungai Besar," ujarnya.

Kata beliau, pemilik bot nelayan iaitu lelaki tempatan berusia 60 tahun telah dikenal pasti untuk tindakan lanjut.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Perikanan 1985.

"Maritim Malaysia komited untuk terus memperketat kawalan dan meningkatkan operasi khususnya di lokasi hotspot selain memfokuskan tindakan ke atas dalang, tekong dan ejen sindiket tanpa kompromi," ujarnya.