Kemalangan bas ekspres dengan lori, mangsa terakhir tersepit berjaya dikeluarkan

Iklan
Anggota Bomba dan Penyelamat sedang mengeluarkan mangsa tersepit.

RAWANG – Mangsa terakhir yang tersepit di dalam sebuah bas ekspres terbabit dalam kemalangan di Kilometer 1.0 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini pada Ahad berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.24 pagi itu, bas yang membawa seramai 42 penumpang termasuk dua pemandu dipercayai terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tiga tan.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya mengalami kesukaran mengeluarkan seorang lelaki berusia lingkungan 50-an berikutan struktur pembahagi jalan menghimpit kakinya.

“Kami berjaya mengeluarkan mangsa terakhir itu pada jam 8.53 pagi. Lelaki berkenaan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Mangsa yang cedera sedang mendapat rawatan awal pasukan Perubatan.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seramai lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh kira-kira 21 kilometer.

Iklan

Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 5.51 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dengan sebuah lori.

Ahmad Mukhlis dilaporkan berkata, terdapat lima mangsa tersepit, membabitkan empat penumpang bas dan seorang pemandu lori.

Bas berkenaan membawa 42 penumpang termasuk dua pemandu, dengan 38 penumpang berjaya keluar dalam keadaan selamat pada jam 6.33 pagi.

Beliau berkata, empat penumpang bas tersepit, namun tiga daripada mereka berjaya dikeluarkan, manakala seorang lagi masih tersepit pada ketika itu.

Pemandu lori turut berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat. Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Seramai 26 mangsa pula tidak mengalami kecederaan dan enggan dihantar ke hospital. Lapan mangsa menerima rawatan di zon hijau hospital berkenaan, manakala empat mangsa di zon kuning dan tiga mangsa di zon merah.