NESTLE Malaysia menampilkan KitKat® Dark Borneo, iaitu coklat yang menggunakan biji koko asli dari Sabah dan Sarawak bersempena Pameran Koko Antarabangsa Malaysia (MICF) 2025.
Produk tersebut dicipta bagi mengukuhkan usaha terhadap kelestarian dan inovasi dalam pelbagai produk berasaskan koko.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata Nestlé menyasarkan untuk memperoleh 10,000 tan metrik koko dari ladang-ladang tempatan menjelang tahun 2034 dalam usaha menggiatkan semula industri penanaman koko Malaysia.
Menurutnya, melalui Inisiatif Koko Borneo Nestlé (NBCI) yang dilancarkan pada tahun 2023, Nestlé telah mengembangkan program Farmer Connect ke Malaysia Timur bagi melengkapkan petani tempatan dengan kaedah penanaman yang lebih baik.
"Nestlé Malaysia meraikan keunikan koko sebagai produk warisan Malaysia dan memperkenalkan biji koko tempatan ke pentas antarabangsa.
"Tumpuan utama pameran ini ialah kerjasama Nestlé bersama Lembaga Koko Malaysia (LKM) yang memainkan peranan penting dalam usaha mengukuhkan industri koko negara.
"NBCI menggalakkan pertanian regeneratif melalui agroforestri, penanaman sela dan pengurusan kesuburan tanah, sekali gus meningkatkan hasil dan daya tahan ladang, di samping melindungi ekosistem semula jadi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Pameran Koko Antarabangsa Malaysia (MICF) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr Ramle Kasin.
Mengulas lanjut, Juan berkata usaha berterusan Nestlé Malaysia terhadap sumber, pengeluaran halal dan kelestarian jangka panjang dapat dilihat menerusi rantaian bekalan kokonya.
Jelasnya, KitKat® Dark Borneo dibangunkan melalui kerjasama dengan LKM dan melambangkan kepakaran Malaysia dalam penanaman koko, selain memperkasakan tradisi serta warisan tanah air.
"Dengan eksport mencecah RM15 bilion pada tahun 2024, sektor pemprosesan koko Malaysia terus berkembang, didorong oleh penggunaan biji koko import.
"Pengeluaran koko tempatan masih belum dimanfaatkan sepenuhnya dan ini memberikan potensi besar, bukan sahaja untuk pertumbuhan industri tetapi juga meningkatkan taraf hidup petani, khususnya di Sabah dan Sarawak yang mempunyai persekitaran amat sesuai untuk penanaman koko berkualiti tinggi.
"Nestlé Malaysia akan terus berusaha untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi memperluaskan penanaman koko sambil mengekalkan piawaian kelestarian tertinggi, ketelusan rantaian bekalan dan pematuhan hak asasi manusia.
"Kami amat menghargai dan teruja untuk mengetengahkan dedikasi petani di Borneo Utara melalui produk inovatif yang membawa keceriaan kepada rakyat Malaysia termasuk pengguna global, seperti yang telah kami capai dengan KitKat® Dark Borneo yang kini turut diperkenalkan dalam varian khas aiskrim,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestlé Confectionery, Carlota Casellas berkata KitKat® Dark Borneo diperbuat daripada 100 peratus biji koko tempatan yang mencerminkan keunikan warisan Malaysia, selain menawarkan keseimbangan rasa hasil kaedah penapaian dan pengeringan matahari yang teliti.
Tambah beliau, produk tersebut turut menerima Anugerah Inovasi Terobosan BASES NielsenIQ 2024 sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan produk dan peningkatan minat pengguna terhadap coklat berasaskan koko asli.
"KitKat® sentiasa sinonim dengan kenikmatan dan keceriaan. Dengan KitKat® Dark Borneo, kami ingin mencipta sesuatu yang benar-benar menghargai warisan budaya Malaysia.
"Produk ini mengandungi 52 peratus koko, memberikan keseimbangan sempurna antara cita rasa pekat dan tekstur yang lembut.
"Kami juga kini memperluaskan penggunaan koko tempatan ke kategori lain, antaranya Aiskrim KitKat® Dark Borneo, iaitu aiskrim wafer berlapis yang disaluti coklat gelap koko Borneo dan ditaburi serbuk wafer KitKat®,” katanya.
Semua produk KitKat® Dark dihasilkan di Kompleks Perindustrian Chembong milik Nestlé yang bersijil halal di Negeri Sembilan, iaitu salah satu kilang konfeksi dan aiskrim Nestlé yang terbesar di Asia.
Kemudahan itu berfungsi sebagai hab utama pengeluaran eksport, yang membekalkan produk halal KitKat® ke pasaran ASEAN serta destinasi global lain.
Kilang tersebut turut melaksanakan inisiatif kelestarian yang signifikan, termasuk pengenalan Loji Janakuasa Biojisim yang beroperasi menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui daripada tandan kosong kelapa sawit dan tempurung kelapa sawit.
Perkara itu sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan menyokong matlamat Nestlé ke arah pengilangan neutral karbon.