BALING - Ibu kepada pemandu Perodua Alza yang terbabit dalam nahas tragis bersama sebuah bas di Gerik menzahirkan kesyukuran apabila anak dan menantu selamat dalam kemalangan termasuk cucunya biarpun dilaporkan tercampak ke dalam longkang.
Norlian Abd Halim, 58, berkata, keadaan cucu, Muhammad Ahsan Nafis Mohd Lutfi, 2, dilihat aktif apabila mereka bertemu di Hospital Baling pada Isnin.
"Ada jumpa Mohd Lutfi dan anak bongsu dia semalam. Alhamdulillah sihat...cucu sikit pun tak luka.
"Tanya juga cucu macam mana boleh jatuh dalam longkang, (jawab Mohd Lutfi) tak tahu, tengok-tengok dah menangis dalam longkang," jelasnya.
Menurut Norlian, Mohd Lutfi ada menzahirkan kelegaan dan bernasib baik kerana Muhammad Ahsan Nafis jatuh ke dalam longkang bukannya ke dalam gaung berdekatan.
"Dia kata nasib baik jatuh di situ, kalau jatuh gaung, entah nak cari di mana,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, dia masih belum sempat bertemu seorang lagi cucu, Nur Aisyah Nafishah, 6, yang patah paha kanan, serta menantu, Nurul Ain Zakaria, 36, yang mengalami patah tulang rusuk sebelah kiri.
"Semalam tak boleh jumpa sebab masa pergi melawat mereka masih di kecemasan, namun sempat la bercakap melalui panggilan telefon.
"Dapat dengar suara cucu (Nur Aisyah Nafishah) lega...tanya sakit tak, dia kata tak sakit dah kaki dia," jelasnya.
Norlian berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu sekitar jam 8 pagi selepas Mohd Lutfi menghubunginya.
"Dia tak beritahu masa kejadian... bila semua dah reda baru telefon dan bagitahu. Dia pesan jangan terkejut... memang berdebar masa dengar,” katanya.
Dalam nahas kira-kira jam 1 pagi itu, kenderaan dipandu Mohd Lutfi bersama isteri dan dua anak terbabit kemalangan dengan bas yang membawa pelajar UPSI hingga meragut 15 nyawa di Jalan Raya Timur-Barat, berhampiran Tasik Banding.
Mohd Lutfi dan Muhammad Ahsan Nafis sudah dibenarkan pulang kerana hanya mengalami cedera ringan manakala Nurul Ain dan Nur Aisyah Nafishah masih dirawat di Hospital Baling.