JELI - Polis menahan dua lelaki dan merampas sebanyak 7,900 anak pokok bunga jenis Bromeliad bernilai RM1.3 juta yang dipercayai diseludup dari Thailand, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, tangkapan dibuat sepasukan anggota Task Force Balai Polis Jeli selepas menahan sebuah lori Isuzu yang mencurigakan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa 156 kotak berwarna coklat bertulisan Thailand yang mengandungi pokok bunga Bromeliad.
“Rampasan melibatkan 143 kotak bertulis Crown Seal Public Company Limited mengandungi 7,150 pokok, 10 kotak bertulis DMS: 60x100x40 sentimeter mengandungi 600 pokok serta tiga kotak bertulis FBC mengandungi 150 pokok,” katanya kepada pemberita pada Rabu.
Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia 17 dan 49 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) dan semua rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata, pihaknya akan mempergiatkan pemeriksaan serta rondaan di sekitar daerah ini bagi mengekang aktiviti penyeludupan.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan kepada pihak polis demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat terus terpelihara.