Malaysia sasar jadi hab utama pelancongan kapal persiaran

Iklan
Malaysia berhasrat menjadikan sektor pelancongan kapal persiaran sebagai pemangkin kepada pembangunan komuniti tempatan serta ekonomi negara secara menyeluruh. Gambar kecil: ANTHONY LOKE

GEORGE TOWN - Malaysia berhasrat menjadikan sektor pelancongan kapal persiaran sebagai pemangkin kepada pembangunan komuniti tempatan serta ekonomi negara secara menyeluruh.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, usaha itu bukan sahaja akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan malah mampu mengangkat budaya, warisan, makanan tempatan dan kraf tangan ke peringkat antarabangsa.

Iklan
Iklan

"Ini bukan sekadar menerima pelancong, tetapi memberi mereka peluang merasai jiwa sebenar Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan CruiseWorld Malaysia 2025 di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, Anthony Loke berkata, pengendali kapal persiaran dan pemain industri digalakkan melihat Malaysia bukan sekadar lokasi persinggahan, sebaliknya sebagai pelabuhan utama yang strategik untuk operasi jangka panjang.

Iklan

"Malaysia harus dilihat sebagai lokasi untuk memulakan dan menamatkan pelayaran, membekalkan keperluan logistik serta menjalin kerjasama berterusan.

"Jika strategi ini dilaksanakan dengan baik, manfaatnya adalah menyeluruh, daripada pertambahan pelancong, peningkatan hasil pelancongan, sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hingga kepada pembangunan ekonomi tempatan,” ujarnya lagi.

Iklan

Tambah beliau, dalam usaha menarik pelaburan asing berkualiti tinggi, Malaysia juga perlu kekal kompetitif dalam sektor pelancongan bagi memastikan kedudukannya tidak tergugat oleh negara pesaing di rantau ini.

"Jika kita tidak melangkah ke hadapan, negara lain tidak akan teragak-agak untuk mengambil alih peluang yang kita lepaskan.

"Persaingan sihat ini harus menjadi pemangkin untuk kita terus maju, bukan kerana rasa takut, tetapi atas komitmen untuk terus memperbaiki dan berada di hadapan.

"Langkah proaktif ini dilihat selari dengan usaha berterusan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau Asia Tenggara," katanya.

Beliau menambah, pelancongan kapal persiaran bukan lagi dianggap sebagai sektor sampingan sebaliknya kini menjadi sebahagian penting dalam perancangan pembangunan negara.

"Sektor ini merupakan antara komponen utama dalam strategi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pengangkutan, pelancongan dan perdagangan di rantau ini.

"Dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 yang semakin hampir, kita tidak boleh mengambil sikap sambil lewa.

"Malaysia sudah lama menjadi destinasi pelancongan menarik, tetapi kita tidak mahu sekadar kekal sebagai ‘destinasi baik’. Kita mahu jadi destinasi bertaraf dunia,” katanya.