PUTRAJAYA – Kerajaan disarankan supaya mempertimbangkan untuk mewujudkan satu undang-undang baharu yang membolehkan syarikat didakwa secara jenayah atas kecuaian serius sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan pekerja dan orang awam sentiasa menjadi keutamaan dalam operasi sesebuah syarikat, khususnya dalam sektor pengangkutan.
Menurutnya, mungkin sudah tiba masanya kerajaan menilai semula keberkesanan undang-undang sedia ada selain mengkaji keperluan untuk meminda Kanun Keseksaan atau memperkenalkan satu akta baharu seperti yang diamalkan di United Kingdom (UK) menerusi UK Corporate Manslaughter and Corporate Homicide Act 2007 (Akta Pembunuhan Korporat dan Homisid Korporat UK 2007).
"Akta ini membolehkan sesebuah syarikat didakwa atas kegagalan serius dalam cara mereka menguruskan keselamatan pekerja atau orang awam, serta kecuaian yang menyebabkan kematian.
"Akta ini diwujudkan di UK sebagai tindak balas terhadap beberapa kes kematian di tempat kerja di mana tiada pihak korporat dapat dipertanggungjawabkan secara jenayah di bawah undang-undang sedia ada,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Ujar beliau, perkara tersebut amat relevan terutamanya melibatkan syarikat yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan kerana ia berkait rapat dengan nyawa manusia yang tidak ternilai.
Dalam pada itu, Azalina turut menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan tegas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, yang mahu tindakan keras diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam insiden yang melibatkan keselamatan.
"Saya sangat bersetuju dengan Menteri Pengangkutan mengenai tindakan tegas ke atas mereka yang bertanggungjawab,” katanya.
Terdahulu, negara dikejutkan dengan insiden kemalangan tragis yang mengorbankan 15 nyawa melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Raya Timur–Barat pada awal pagi Isnin.
Tragedi itu mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan rakyat berhubung tahap keselamatan perkhidmatan pengangkutan dan keperluan ketegasan dalam aspek penguatkuasaan.