KLUANG – Seorang peniaga maut selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki membawa muatan bahan api di Kilometer 39, Jalan Batu Pahat–Mersing, pada Isnin.
Mangsa, Cheng Tow Kheong, 52, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 9.50 malam apabila kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori berkenaan.
"Lori tangki yang membawa muatan diesel dan petrol itu dipandu oleh seorang lelaki berusia 39 tahun dari arah Ayer Hitam menuju ke Kluang, manakala kereta mangsa datang dari arah bertentangan.
"Akibat pelanggaran itu, bahagian hadapan kereta mangsa remuk teruk dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan II Isyadi Dani memaklumkan bahawa sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera FRT telah digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
"Setibanya pasukan di lokasi, didapati seorang mangsa tersepit di tempat duduk pemandu. Pasukan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.