Suasana pilu selubungi Masjid Hadhari Jerteh

Iklan
Keluarga yang menunggu jenazah nahas di Perak. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

JERTEH – Pekarangan Masjid Hadhari di sini dipenuhi suasana hiba apabila ahli keluarga 13 lagi penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) masih menunggu ketibaan jenazah mangsa nahas bas yang meragut 15 nyawa.

Sejak jam 7 malam Isnin, waris berkumpul dalam keadaan tenang namun jelas tergambar kegusaran dan kesedihan di wajah masing-masing bagi memberi penghormatan terkahir kepada jenazah yang dijangka tiba dari Perak sekitar jam 1 hingga 2 pagi, Selasa.

Iklan
Iklan

Ada yang datang dari jauh termasuk Pasir Puteh, Kelantan semata-mata untuk memberikan penghormatan terakhir kepada insan tersayang.

Siti Aisyah Nasir, 47, sepupu kepada ibu Allahyarham Nurly Sahirah Azman, 23, berkata, dia menunggu di masjid selepas dimaklumkan jenazah akan disolatkan di masjid ini.

Iklan

"Saya dapat tahu dia terlibat kemalangan sekitar jam 9.40 pagi melalui kumpulan WhatsApp keluarga tapi kami tak tahu dia meninggal dunia.

"Ibunya pun hanya tahu selepas sampai di Perak, kira-kira jam 1 tengah hari. Keluarganya dalam perjalanan pulang bersama jenazah,” katanya.

Iklan

Menurut wanita itu, kerana tidak pasti jenazah di bawa pulang ke rumah atau tidak, dia mengambil keputusan terus menunggu di masjid.

"Lagipun nak bercakap dengan ibu dia pun susah, talian tidak jelas,” tambahnya.

Dalam suasana sama, Iza Mahmood, 52, ibu saudara kepada mangsa Nor Ayuni Maslan, 21, berkata, mereka sekeluarga sudah berada di masjid sejak jam 9.30 malam Ahad.

"Kami datang berlima dari Gong Tinggi, Pasir Puteh. Nor Ayuni anak bongsu dan ibunya sudah lama meninggal dunia.

"Bapa Ayuni pula bertolak ke Perak seawal jam 5 pagi tadi. Kami di sini menunggu jenazah sampai,” katanya ringkas.

Seorang lagi waris mangsa, Shukri Sulaiman, 50, berkata berita kemalangan itu memberi kesan mendalam apabila antara mangsa yang terkorban merupakan rakan anaknya.

"Awalnya saya muat naik status kejadian kemalangan itu di WhatsApp sekitar jam 5.30 pagi dan kawan balas status beritahu anaknya terbabit serta meninggal dunia.

"Anak saudara sepupu saya, Nik Amni Nadian Nik Nor Zabir pula cedera parah dan dirawat di Hospital Gerik sebelum disahkan meninggal dunia malam tadi,” katanya.

Shukri yang juga kakitangan awam mengakui tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan usia mangsa-mangsa terbabit seusia anaknya sendiri.

"Sufea Adela Maslihaizan dan Nurul Izyanti Muhamad Azahar, kedua-dua anak kawan sekolah saya dulu. Saya tengok mereka dijemput Ilahi dalam keadaan pergi menuntut ilmu,” katanya.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham Muhammad Adib Hazim Halim, 21, selamat disembahyangkan di Masjid Hadari oleh lebih 1000 jemaah.

Solat jenazah pertama yang tiba pada jam 10.40 malam Isnin itu diimamkan imam masjid berkenaan, Mat Jaih Namat.

Jenazah kemudian dibawa ke Kampung Pasir Badak, Hulu Besut untuk urusan pengebumian.

Sementara itu, jenazah Wan Nur Suhaila Wan Mohammad juga tiba di Jerteh dan dibawa pulang terus ke rumah keluarga di Kampung Amer.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, 15 penuntut UPSI termasuk 13 perempuan dan dua lelaki maut selepas bas dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Baling, Perak.

Kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampus selepas cuti Aidiladha.