Rangka manusia separa reput ditemui terdampar di pantai

Iklan
Seorang penduduk bersama polis melihat rangka manusia tanpa identiti ditemui terdampar di pesisir Pantai Lagenda, Kuala Pahang di sini pada pagi Sabtu.

PEKAN – Satu rangka manusia tanpa identiti ditemui terdampar di pesisir Pantai Lagenda, Kuala Pahang, di sini, pada pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, rangka tersebut ditemui oleh penduduk sebelum dimaklumkan kepada pihak polis kira-kira jam 10 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepasukan polis dari Balai Polis Pekan bersama pegawai penyiasat digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan awal.

“Hasil pemeriksaan mendapati rangka manusia itu berada dalam keadaan separa reput dan ditemui di kawasan pesisir pantai yang jarang dikunjungi orang awam.

Iklan

“Tiada dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, rangka manusia berkenaan dibawa ke Unit Forensik Hospital Pekan untuk tindakan lanjut, namun bedah siasat tidak dapat dijalankan kerana keadaan rangka yang tidak lengkap.

Iklan

Beliau menambah, proses bedah siasat dan pengambilan sampel bagi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) hanya boleh dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Pihak Hospital Pekan akan berhubung dengan HTAA bagi menetapkan tarikh bedah siasat dan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut kepada pihak polis,” katanya.

Terdahulu, tular satu hantaran dan beberapa keping gambar di platform media sosial yang menunjukkan penemuan rangka manusia di pesisir Pantai Kampung Kuala Pahang.

Hantaran yang dimuat naik itu memaparkan anggota polis sedang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian sambil disaksikan oleh beberapa penduduk setempat.

Menurut maklumat awal, rangka tersebut ditemukan dalam keadaan terdampar di atas pasir, lengkap berpakaian, sebelum disedari oleh warga kampung yang melalui kawasan berkenaan pada pagi Sabtu.