GERIK - Jenazah dua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan di Kilometer 53 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Jeli-Gerik telah selesai dibedah siasat dan dibawa pulang untuk pengebumian.
Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22, dan Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Gerik menaiki van jenazah pada jam 6.30 petang.
Jenazah Wan Nur Suhaila akan dibawa ke kediaman keluarga di Kampung Amer, Kampung Raja, Besut, Terengganu manakala Muhammad Adib Hazim akan dibawa ke tanah perkuburan di Kampung Pasir Badak, Jertih, Terengganu.
Sementara itu, 13 lagi jenazah nahas bas sama sedang menjalani proses bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
Setakat jam 3.30 petang, enam jenazah telah selesai dibedah siasat di hospital tersebut.
Pengarah Kesihatan Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha memaklumkan, proses bedah siasat kesemua pelajar terlibat dijangka selesai tengah malam ini.
Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi pada Isnin itu, 15 pelajar disahkan meninggal dunia sementara 27 yang lain cedera dan menerima rawatan di Hospital Gerik.
Turut cedera ialah pemandu bas berusia 40 tahun dan kelindannya yang berusia 54 tahun.
Nahas dipercayai berlaku apabila bas terbabit melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan hilang kawalan sebelum terbalik merempuh pembahagi jalan.
Dalam kejadian itu, empat sekeluarga yang menaiki MPV terbabit terselamat dengan mengalami cedera dan dirawat di Hospital Baling, Kedah.