Nahas pelajar UPSI: Sultan Nazrin, Tuanku Zara zahir dukacita

Iklan
Sultan Nazrin berangkat ke HRPB menziarahi waris mangsa nahas pelajar UPSI yang maut dalam kejadian kemalangan di Kilometer 53, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli pada Isnin.

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan rasa dukacita susulan nahas yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam kemalangan di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding di sini pada Isnin.

Dato’ Pengelola Bijaya Diraja, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, walaupun pada hakikatnya ajal dan maut ditentukan oleh ALLAH, baginda berpendirian bahawa ALLAH SWT menyeru manusia agar berusaha dan berikhtiar untuk mengelakkan diri daripada ancaman, bencana, bahaya dan malapetaka.

Iklan
Iklan

"Baginda berpandangan bahawa banyak langkah preventif boleh dan perlu dilakukan, dan menitahkan semua pihak berkaitan agar menjadikan tragedi ini sebagai pengajaran, mengenal pasti serta menerima kelemahan yang ada untuk dilakukan penambahbaikan, terutama dari sudut penguatkuasaan undang-undang dan peraturan agar kejadian kemalangan tragik seperti ini dapat dielakkan daripada berulang.

"Baginda berdua menzahirkan rasa amat dukacita mengenai kejadian yang melibatkan kehilangan 15 nyawa secara tragik dan mengerikan,” ujar Meor Hezbullah dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Dalam perkembangan berkaitan, baginda turut menzahirkan simpati serta ucapan takziah kepada ibu bapa dan ahli keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang dalam usia yang begitu muda.

Baginda mendoakan agar ibu bapa dan ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan menghadapi serta reda dengan ujian berat yang menimpa mereka.

Iklan

Terdahulu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara mencemar duli berangkat ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menziarahi keluarga mangsa dan menerima sembah taklimat mengenai tragedi kemalangan di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli pada Isnin yang mengakibatkan 15 nyawa terkorban dan 24 orang pelajar cedera.

Baginda turut meluangkan masa selama 10 minit bertemu dengan keluarga mangsa di Jabatan Forensik HRPB.

Keberangkatan baginda turut diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.