Jalan Raya Timur-Barat perlu dinaik taraf segera tanpa pertimbangan politik - Pengguna

Iklan
Jalan JRTB yang turut menjadi lintasan haiwan liar. Antara reaksi atau komen pengguna Facebook mengenai JRTB. (Gambar kecil: Azlan)

SHAH ALAM - Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) perlu dinaik taraf segera tanpa sebarang pertimbangan politik atau birokrasi yang boleh melambatkan pelaksanaannya.

Pengguna JRTB sejak tahun 2000, Azlan Abdul Rahman berkata, laluan itu semakin uzur dan berisiko tinggi kepada keselamatan pengguna.

Iklan
Iklan

Dia yang pernah melalui jalan itu dengan pelbagai kenderaan termasuk bas, kereta, motosikal dan van berpandangan, banyak bahagian jalan yang rosak, berlubang dan terdapat juga kawasan tanah runtuh yang hanya ditampal secara sementara.

"Pada waktu malam, laluan ini menjadi sangat gelap, ditambah pula dengan kabus tebal yang kadangkala mengehadkan jarak penglihatan kepada hanya lima meter seolah-olah memandu dalam awan. Adakah nyawa pengguna jalan ini tidak cukup bernilai?,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, sekurang-kurangnya 15 individu dilaporkan maut dalam nahas membabitkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Difahamkan, nahas yang berlaku sekitar jam 1 pagi itu melibatkan sebuah bas yang membawa seramai 42 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Iklan

Dalam pada itu, Azlan turut menekankan risiko akibat reka bentuk laluan yang tidak logik dengan hanya satu lorong bagi setiap arah.

"Bayangkan ketika anda sedang memotong kenderaan perlahan, tiba-tiba lorong memotong tamat secara mengejut dan kenderaan dari arah bertentangan sudah terlalu hampir. Ini amat berbahaya dan boleh menyebabkan kemalangan maut.

"Tambah pula, tiada bahu jalan untuk kecemasan, kalau rosak pemandu terpaksa berhenti tepi selekoh berbukit, tanpa ruang selamat,” ujarnya.

Azlan turut menyentuh soal teknologi pembinaan JRTB yang sudah ketinggalan zaman kerana dibina sejak era 1970-an ketika ancaman komunis masih wujud.

"Kita kini berada di tahun 2025 sudah tiba masanya laluan ini diberi sentuhan pembaharuan yang sejajar dengan kemajuan infrastruktur negara.

"Bukan itu sahaja, ada juga kes melibatkan haiwan liar yang menghalang laluan, memaksa pemandu berpatah balik. Walaupun haiwan ini dilindungi, nyawa manusia juga wajar diutamakan,” ujarnya.

Dia juga berpandangan keadaan jalan yang daif menyekat pertumbuhan ekonomi negeri di Pantai Timur, sekali gus tidak mencerminkan status Malaysia sebagai negara yang menuju ke arah kemajuan.

Sementara itu, pengguna Facebook, Qaseh Aira turut meluahkan kekecewaannya terhadap keadaan jalan berkenaan yang tidak menunjukkan sebarang perubahan sejak dua dekad lalu.

"Sudah 20 tahun ulang alik dari Utara ke Pantai Timur. Tiada apa-apa perubahan, rakyat marhaen dinafikan hak di bumi sendiri. Semoga segala doa rakyat teraniaya dikabulkan...Insya-ALLAH,” tulisnya.

Bagi Syahrul Abllah pula, laluan JRTB disifatkannya masih berada di takuk lama tanpa sebarang pembaharuan.

"Hari demi hari berganti, tapi jalan masih di takuk lama dan tidak ada perubahan,” katanya ringkas.