JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal merayu agar anak perempuannya yang berusia 15 tahun segera pulang ke rumah setelah hampir dua bulan menghilangkan diri dari kediaman mereka di Batu Pahat.
Soh Shui Ping, 35, berkata, anak sulungnya itu dipercayai melarikan diri dari rumah mereka di Taman Murni, Batu Pahat pada 28 April lalu bersama seorang lelaki yang baru dikenali awal tahun ini.
"Masalah kami ini bermula apabila kereta ayah saya rosak dan rakan ayah saya memperkenalkan lelaki berkenaan yang boleh membaiki kereta walaupun dia bukan mekanik.
"Lelaki itu kemudiannya datang ke rumah keluarga kami dan di situlah dia bertemu dengan anak saya dan selepas itu mereka mula berhubung," katanya pada sidang akhbar yang dianjurkan oleh Ketua Biro Aduan Awam Sayap Bersekutu Bersatu Johor, Lim Thow Siang.
Shui Ping yang juga pekerja kantin sekolah berkata, dia mula menyedari perubahan ketara pada tingkah laku anaknya setelah berhubung dengan lelaki berkenaan dan remaja itu mula ponteng sekolah untuk menemui lelaki terbabit.
"Saya terkejut apabila pada 23 April lalu, guru sekolah anak hubungi saya dan memaklumkan bahawa anak saya keluar dari sekolah dengan dijemput oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.
"Sebaik dia pulang ke rumah, saya segera membawanya ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan. Syukurlah, keputusan pemeriksaan kesihatan menunjukkan dia tak cedera, namun hubungan kami mulai renggang selepas kejadian itu dan 28 April lalu dia bertindak nekad lari dari rumah," katanya.
Tambah Shui Ping lagi, dia telah cuba menghubungi dan menghantar pesanan kepada anaknya, namun sehingga kini masih tidak menerima sebarang maklum balas.
Katanya, dia juga berjumpa dengan rakan-rakan anaknya, tetapi tiada siapa yang tahu di mana anaknya berada.
"Saya juga telah membuat laporan polis dan memohon bantuan Thow Siang untuk mengesan anak perempuan saya," katanya.
Sementara itu, Thow Siang meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan remaja perempuan itu agar segera menghubungi polis.
"Remaja perempuan berusia 15 tahun itu masih seorang kanak-kanak yang belum mampu berfikir secara matang dan mudah dipengaruhi atau dimanipulasi oleh orang lain," katanya.
"Saya merayu kepada sesiapa yang tahu di mana dia berada supaya memastikan dia dapat pulang dengan selamat ke pangkuan ibunya dan keluarga," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan berhubung kehilangan remaja itu dan memaklumkan bahawa usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan.