Pulau Pinang kaji semula diskaun hartanah untuk India Muslim

Iklan
Sundarajoo

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan meneliti semula pelaksanaan dasar pemberian diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit hartanah tidak terjual susulan arahan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S Sundarajoo berkata, beliau menyambut baik pandangan Ketua Menteri dan mengambil maklum keperluan untuk memastikan dasar tersebut lebih inklusif serta memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Iklan
Iklan

"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, objektif utama pemberian diskaun ini adalah untuk menangani isu lambakan unit hartanah tidak terjual (overhang) secara bersasar.

"Selaras dengan arahan Ketua Menteri, saya akan meneliti semula pelaksanaan dasar ini bersama pihak pemaju agar ia dapat disesuaikan demi kebaikan semua pihak," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Ahad.

Iklan

Dalam pada itu, Sundarajoo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas bimbingan dan keprihatinan berterusan terhadap isu perumahan di negeri ini.

Terdahulu, Kon Yeow dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan bahawa kerajaan negeri menerima pelbagai maklum balas berhubung pengumuman diskaun berkenaan yang dibuat pada minggu lalu.

Iklan

Menurutnya, sebahagian pandangan menyatakan bahawa diskaun tersebut seharusnya turut ditawarkan kepada semua pembeli tanpa mengira kaum, bagi merangsang semula sektor hartanah, khususnya penjualan unit tidak terjual.

"Selaras itu, saya telah mengarahkan Exco Perumahan dan Alam Sekitar untuk memperhalusi polisi ini bersama pihak pemaju agar ia lebih inklusif dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, selaras dengan prinsip keadilan sosial.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri juga akan meneliti perkara ini dan membuat keputusan sewajarnya demi kebaikan bersama," katanya.

Sundarajoo pada Khamis lalu mengumumkan pemberian diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit kediaman dan komersial tidak terjual di bawah Dasar Pemangkin Momentum Sektor Hartanah dan Pemilikan Rumah Inklusif MADANI (MOC) yang akan berkuat kuasa dari 1 Jun 2025 hingga 31 Mei 2026.

Dasar tersebut turut memperkenalkan kategori khas Rumah MutiaraKu (RMKu) Jenis D dengan harga siling maksimum RM400,000 serta pengurangan kadar sumbangan bagi pemaju yang tidak menyediakan unit RMKu Jenis A atau B secara fizikal.

Bagaimanapun, DAP Pulau Pinang meminta agar kerajaan negeri menyemak semula pemberian diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit hartanah tidak terjual di negeri ini.

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong menyuarakan pandangannya bahawa kerajaan negeri perlu menjunjung prinsip keadilan sosial dalam isu perumahan.

"Sebagai sebuah parti yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan, DAP sentiasa memperjuangkan keadilan dan kebajikan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

"Adalah penting untuk kerajaan negeri memastikan hak setiap rakyat Malaysia untuk memiliki rumah dipelihara,” katanya.