KEPALA BATAS - Langkah Kerajaan Pulau Pinang memperluaskan pemberian diskaun bagi pembelian hartanah di negeri itu kepada semua rakyat Pulau Pinang tanpa mengira kaum adalah keputusan yang tepat.
Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Pulau Pinang negeri, Abrar Sadiq berkata, pendekatan tersebut adalah progresif dan dilihat mampu meredakan keresahan masyarakat majmuk di negeri ini.
"Kami menyokong penuh usaha ini kerana ia selari dengan semangat keadilan dan keterangkuman yang menjadi asas kepada perpaduan rakyat Pulau Pinang.
"Langkah ini juga mampu memastikan setiap warga negeri ini, tanpa mengira latar belakang bangsa, mendapat manfaat secara adil dan saksama," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.
Abrar yang juga Ketua Pemuda Amanah Kepala Batas turut menasihatkan mana-mana Exco atau pimpinan agar lebih berhati-hati dan menyelidik secara menyeluruh sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan awam.
"Pulau Pinang adalah milik semua rakyat. Justeru, dasar yang digubal perlu berteraskan prinsip keadilan, keterangkuman dan keharmonian bersama.
"Kemajuan negeri ini adalah hasil perpaduan rakyatnya. Jangan biarkan kenyataan yang tidak matang mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat," ujarnya.
Pada Sabtu Sinar Harian melaporkan Kerajaan Pulau Pinang akan menyemak semula pemberian diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit hartanah tidak terjual (overhang) di negeri ini.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong berkata, beliau telah berbincang dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berhubung isu berkenaan susulan maklum balas orang awam.
Menurutnya, Kon Yeow bersetuju supaya isu itu dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk disemak dan dibincangkan semula.
"Sebagai sebuah parti yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan, DAP sentiasa memperjuangkan keadilan dan kebajikan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
"Adalah penting untuk kerajaan negeri terus menjunjung prinsip keadilan sosial dan memastikan hak setiap rakyat Malaysia untuk memiliki rumah dipelihara,” katanya.