MAKKAH - Seorang jemaah haji dari Togo, Afrika Barat melahirkan bayi di Padang Arafah pada musim haji tahun ini.
Peristiwa itu berlaku pada Khamis ketika wanita berkenaan yang merupakan antara jemaah dalam program khas jemputan Raja Salman, mengalami kesakitan seakan mahu bersalin ketika berada di dalam khemah jemaah haji di Arafah.
Menurut laporan media antarabangsa, pasukan perubatan daripada Bulan Sabit Merah Arab Saudi segera bertindak pantas memindahkan wanita terbabit ke pusat kesihatan lapangan yang lengkap dengan kemudahan bersalin.
Hasil tindakan segera itu, wanita berkenaan selamat melahirkan bayinya.
Ibu dan bayi dilaporkan berada dalam keadaan sihat selepas menerima pemeriksaan dan rawatan sewajarnya oleh pasukan perubatan.
Wanita dari Togo itu merupakan salah seorang daripada 2,445 jemaah yang diundang khas daripada 100 negara di bawah program 'Tamu Penjaga Dua Masjid Suci untuk Haji, Umrah dan Ziarah' anjuran Kementerian Urusan Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi.
Program tersebut menyediakan pelbagai kemudahan termasuk penginapan yang selesa, perkhidmatan kesihatan 24 jam serta bantuan teknikal secara menyeluruh bagi memastikan ibadah haji para tetamu dirai dengan sebaik mungkin.
Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengesahkan lebih 1.67 juta jemaah berjaya dipindahkan ke Arafah sempena puncak haji tahun ini yang berjalan lancar dan terkawal.