Menyelami falsafah tersirat ibadah korban

Iklan
Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abd Farid Salleh menyampaikan khutbah Aidiladha di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh pada Sabtu.

IPOH – Umat Islam diseru agar menjadikan ibadah korban sebagai panduan dalam kehidupan seharian dengan meneladani semangat pengorbanan, ketaatan dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.

Menurut Teks Khutbah Aidiladha bertajuk Menyelami Falsafah Tersirat di Sebalik Peristiwa Korban itu, ibadah korban bukan sekadar ibadat menyembelih haiwan tetapi juga satu latihan rohani untuk menyemai sifat mulia dan menggugurkan sikap mementingkan diri.

Iklan
Iklan

Jelas teks khutbah itu, ibadah korban menuntut umat Islam mencontohi kesetiaan dan ketaatan Nabi Ibrahim AS serta Nabi Ismail AS dalam menjunjung perintah Ilahi, biarpun diuji dengan pengorbanan yang amat berat.

"Peristiwa agung pengorbanan dua nabi tersebut harus difahami sebagai lambang penyerahan mutlak kepada ALLAH SWT serta pengajaran bahawa segala kurniaan duniawi hanyalah pinjaman semata-mata.

Iklan

"Ismail yang dikasihi Nabi Ibrahim AS tidak hanya merujuk kepada seorang anak, tetapi mewakili segala bentuk kurniaan yang amat disayangi manusia seperti harta, kuasa, darjat, kemasyhuran dan kedudukan. Dalam erti kata lain, korban sebenar adalah melepaskan keterikatan kepada perkara-perkara ini demi Allah SWT,” menurut khutbah tersebut.

Khutbah berkenaan turut menekankan kepentingan sifat al-Ithar iaitu mendahulukan keperluan orang lain melebihi diri sendiri sebagai nilai utama yang perlu dihidupkan menerusi ibadah korban dan kehidupan seharian.

Iklan

Ithar merupakan sifat yang sangat tinggi nilainya di sisi ALLAH SWT melambangkan ketinggian akhlak mendorong seseorang sanggup berkorban demi kebaikan orang lain, jelasnya.

"Nilai al-Ithar ini terzahir melalui ibadah korban yang bukan hanya dilakukan melalui penyembelihan binatang ternakan tetapi melalui menggugurkan sifat tamak juga menyisihkan sifat mementingkan diri sendiri.

"Ibadah korban mendidik umat agar bersedia berkorban iaitu kerelaan memberi dan berkongsi kerana yakin bahawa perkara yang dilakukan merupakan ibadah di sisi ALLAH SWT yang tidak mendatangkan kerugian di sebaliknya membawa keberkatan,” kata teks khutbah itu.

Jelas khutbah berkenaan, semangat al-Ithar boleh dipupuk melalui pelbagai bentuk amal kebajikan, termasuk bersedekah, menunaikan zakat, menyertai aktiviti gotong-royong dan program kemasyarakatan tanpa mengharapkan ganjaran.

Khutbah itu juga mengajak umat Islam agar mengamalkan nilai al-Ithar dalam kehidupan harian, termasuk dalam hal kecil seperti berhemah di jalan raya, memberi keutamaan kepada orang tua dan kurang upaya di tempat awam serta menjaga kebersihan dan adab dalam menggunakan kemudahan bersama.

"Marilah kita menjadikan ibadah korban sebagai medan untuk memperbetulkan hati dan memperkukuh ukhuwah.

"Semoga Aidiladha tahun ini menyemarakkan semangat pengorbanan dan menyuburkan keinsafan dalam jiwa setiap Muslim,” jelas khutbah yang dibacakan di seluruh masjid dan surau di Perak.

Mimbar turut menyeru umat Islam agar menjadikan sambutan Aidiladha sebagai peluang bermuhasabah dan mengamalkan pengorbanan dalam empat bentuk utama.

Pertama dengan melaksanakan ibadah korban dengan penuh keikhlasan dan mengutamakan golongan yang memerlukan dalam agihan daging.

Selain itu, pengorbanan dengan cara menyumbang harta dan kewangan bagi membantu golongan daif serta mangsa konflik seperti saudara seagama di Palestin.

Mengorbankan masa dan tenaga untuk membantu kumpulan yang tertinggal dalam arus pembangunan serta menundukkan ego dengan sifat tawaduk.

Akhir sekali, meningkatkan takwa kerana hanya takwa menjadi ukuran kemuliaan di sisi Allah SWT.