'Tidak perlu genius untuk faham hak gas Sarawak jejas Petronas' – Iswardy

Iklan
Iswardy Morni

SHAH ALAM – Tindakan kerajaan Persekutuan memberikan hak pengagihan gas kepada kerajaan negeri Sarawak didakwa memberi kesan langsung terhadap keputusan pemberhentian kira-kira 5,000 pekerja Petronas baru-baru ini.

Bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Iswardy Morni mendakwa keputusan itu dibuat demi memenuhi tuntutan politik di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), namun hakikatnya membawa lebih banyak mudarat berbanding manfaat.

Iklan
Iklan

"Petronas kini bukan sahaja sedang bergelut dari segi operasi dan hasil, malah turut terpaksa melepaskan ribuan pekerja.

"Kita disuruh telan sahaja keputusan yang pada asasnya datang daripada ugutan politik – ‘kalau tak bagi, kami lompat’,” katanya dalam satu kenyataan tanpa merujuk kepada parti politik tertentu.

Iklan

Menurut Iswardy, kenyataan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, baru-baru ini bahawa syarikat itu mungkin ditutup dalam tempoh 10 tahun sekiranya tiada penstrukturan dilakukan merupakan satu amaran awal yang perlu diambil serius.

"Walaupun beliau (Tengku Muhammad Taufik) cuba ‘berpolitik’ dengan menafikan kaitan pemberian hak distribusi gas kepada Sarawak dengan krisis dalaman Petronas, tetapi kita tidak perlu menjadi genius untuk membaca isyarat yang sedang berlaku,” katanya lagi.

Iklan

Mengulas lanjut, Iswardy menyatakan jika beliau berada di tempat Premier Sarawak, penggunaan MA63 dengan pendekatan yang lebih strategik dan tidak merosakkan kepentingan nasional akan direalisasikan berbanding tuntutan hak gas dan petroleum.

"Selamat membunuh angsa emas sendiri, GPS,” katanya, merujuk kepada Gabungan Parti Sarawak yang menyokong penuh usaha mengambil alih hak pengagihan gas daripada kerajaan Persekutuan.

Untuk rekod, konflik antara kerajaan negeri Sarawak dan Petronas bermula selepas penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) pada 2017.

Petros ditubuhkan sebagai syarikat milik penuh negeri bagi mengurus hasil petroleum dan gas asli, termasuk hak pengagihan, lesen dan pengeluaran sumber asli di negeri itu.

Langkah ini menyebabkan pertindihan kuasa antara kerajaan negeri dan Petronas yang selama ini memegang hak eksklusif mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Ketegangan memuncak apabila kerajaan Persekutuan melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberikan pengiktirafan rasmi terhadap tuntutan Sarawak berdasarkan semangat MA63.

Petronas kini berdepan cabaran besar dalam menyusun semula operasinya, bukan sahaja kerana perubahan landskap perundangan dan pentadbiran, tetapi juga kesan langsung terhadap rantaian pekerjaan serta kebajikan tenaga kerja tempatan yang bergantung kepada gergasi minyak negara itu.