GENEVA – Sekumpulan doktor di Genting Gaza mendermakan darah mereka sendiri demi untuk menyelamatkan penduduk Palestin yang cedera ditembak askar Zionis ketika mahu menuju ke pusat bantuan di selatan wilayah itu.
Pengorbanan mereka didedahkan selepas kira-kira 100 staf Doktor Tanpa Sempadan (MSF) mengadakan protes di luar ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva sebagai membantah sistem birokrasi di hab pengagihan bantuan di Gaza kendalian Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Tel Aviv dan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS).
Iklan
Iklan
"Penduduk Gaza semakin terdesak memerlukan bekalan asas untuk meneruskan hidup. Israel sememangnya sengaja membunuh mereka yang kelaparan," tegas Ketua Pengarah MSF berpusat di Switzerland, Dr Stephen Cornish.
Menurutnya, kakitangan perubatan di salah sebuah kemudahan kesihatan di mana MSF beroperasi bertindak segera mendermakan darah mereka kerana sebahagian besar penduduk Palestin mengalami kekurangan nutrisi yang teruk dan berisiko mengancam nyawa mereka jika berbuat demikian.
Pada awal minggu lalu, pihak berkuasa Gaza mengesahkan sekurang-kurangnya 102 penduduk Palestin maut ditembak manakala hampir 500 cedera dalam tempoh lapan hari selepas hab bantuan itu dibuka.
Pada Rabu, AS sekali lagi memveto resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang menggesa pelaksanaan gencatan senjata segera tanpa syarat di Gaza dan memberi akses kepada penghantaran bantuan kemanusiaan ke enklaf tersebut. - Agensi
Artikel Berkaitan