Haji Hassan Lapah kongsi 'rahsia' pisau lapah berusia 30 tahun

Iklan
Hassan (kanan) ketika aktiviti korban yang dianjurkan Masjid Pengkalan Batu pada Hari Raya Aidiladha lalu.

MELAKA – Pengalaman lebih 30 tahun dalam melapah daging korban menjadikan seorang pesara telekomunikasi dikenali sebagai ‘Haji Hassan Lapah’ terkenal dalam kalangan penduduk di Kampung Pengkalan Batu.

Bapa kepada enam orang anak, Abu Hassan Aji, 64, berkata, aktiviti melapah setiap kali Hari Raya Aidiladha boleh dianggap sebagai kemahiran turun-temurun yang diwarisi daripada arwah bapanya sejak beliau berusia 20-an.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tidak ramai yang berminat untuk mendalami ilmu melapah kerana ia memerlukan keberanian, terutama apabila melihat darah yang banyak mengalir semasa proses penyembelihan.

"Ada orang boleh pitam tengok darah, ada juga yang geli melihat najis, jadi kerja-kerja macam ini bukan semua orang boleh lakukan kalau tiada keberanian,” ujarnya.

Iklan
Antara koleksi pisau lapah yang dimiliki Hassan termasuk berusia lebih 20 tahun.

Selain itu, katanya, perkara utama yang dititikberatkan ialah penggunaan pisau yang tajam supaya kerja menjadi lebih mudah dan lancar.

Katanya, sehingga kini beliau masih menyimpan sebilah pisau melapah yang dibeli di Terengganu dengan harga sekitar RM80 sejak 30 tahun lalu.

Iklan

"Sampai sekarang saya masih gunakan pisau itu. Ia sangat selesa digunakan, tapi jenis pisau itu memang susah hendak didapati.

"Walaupun mata pisau semakin nipis dan pendek, saya tetap gunakan sehingga kini. Walaupun ada beberapa pisau lain, tetap tidak sama dengan yang ini,” ujarnya lagi.

Tambahnya, tiada pengalaman ngeri sepanjang melibatkan diri dalam kerja melapah, cuma pernah berlaku satu peristiwa melucukan apabila seekor lembu yang hendak dikorbankan hilang beberapa hari sebelum Aidiladha.

"Puas penduduk kampung dan orang ramai mencarinya, dan akhirnya lembu itu berjaya ditemui selepas empat hari di kawasan kilang di Ayer Keroh.

"Pengalaman itu kelakar kerana lembu tersebut ditemui selepas tamatnya hari tasyrik. Namun penduduk kampung bernasib baik kerana penternak datang menggantikan lembu lain,” katanya.