PENDIKA agih 2,500 bubur lambuk kepada penduduk Melaka

Iklan
Program pada Selasa akan berlangsung di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil, dengan penglibatan hampir 100 sukarelawan yang akan memasak dan mengagihkan bubur lambuk selepas solat Asar.

MELAKA - Seramai 2,500 penduduk Melaka dijangka menerima bubur lambuk percuma dalam program yang dianjurkan Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) pada Selasa ini.

Pengerusinya, Amir Mamat berkata, acara julung kali diadakan itu akan berlangsung di Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil, dengan penglibatan hampir 100 sukarelawan yang akan memasak dan mengagihkan bubur lambuk selepas solat Asar.

Iklan
Iklan

“Sebanyak 10 periuk bubur lambuk akan dimasak secara bergotong-royong pada Selasa bermula jam 8 pagi.

“Ia akan diagihkan kepada kira-kira 2,500 penduduk Melaka termasuk petugas media, pemandu e-hailing, penghantar p-hailing selepas solat Asar hari yang sama,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Ujar Amir, acara yang julung kali diadakan itu bertujuan memperkukuhkan semangat kebersamaan, kesukarelawanan dan keharmonian masyarakat setempat sempena bulan Ramadan.

Menurutnya, program anjuran bersama World Youth Foundation (WYF), LEAD Malaysia dan Tenaga Gig Melaka itu turut mendapat sokongan beberapa syarikat tempatan termasuk Grab Malaysia, Foodpanda Malaysia, Mamee dan Nasi Beriani Haji Tamby dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Melaka.

Iklan

“Kesudian WYF di bawah teraju Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali yang sentiasa aktif dalam memacu pemerkasaan belia, sekaligus memberi ruang kepada golongan itu menyumbang tenaga sebagai sukarelawan dan mendedahkan mereka kepada skil sosial serta kepimpinan dalam masyarakat.

“Perkongsian penganjuran ini juga unik berikutan penglibatan dua rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang fokus kepada ekonomi gig iaitu LEAD Malaysia dan Tenaga Gig Melaka yang akan melihat penglibatan sukarelawan di kalangan pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing,” ujarnya.

Kata Amir, antara sukarelawan terlibat dalam program tersebut termasuk jawatankuasa Masjid Sayyidina Ali, Jabatan Penerangan Melaka, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Kolej Komuniti Jasin dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka.

“Kami juga ingin mempelawa mana-mana NGO atau kelab sukan syarikat korporat di Melaka untuk turut sama-sama menjayakan gotong royong ini dengan menghubungi talian Whatsapp atau mengisi borang sukarelawan di pautan https://forms.gle/sjoaf1kPCi8bz87k6,” kata beliau.