'Masa jadi pembangkang, mampu beri RM300 sahaja'

Iklan
Sivakumar bercakap kepada pemberita pada Sabtu.

BATU GAJAH - Inisiatif tahunan membantu masjid dan surau diteruskan Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar yang menyalurkan RM5,000 kepada setiap 40 masjid dan surau di kawasan.

Sumbangan berjumlah RM200,000 itu bagi membantu jawatankuasa masing-masing mengatur program berbuka puasa serta aktiviti keagamaan yang memberi manfaat kepada kariah sepanjang bulan Ramadan.

Iklan
Iklan

Menurut Sivakumar, inisiatif berkenaan telah dimulakan sejak tahun 2008 dan diteruskan secara konsisten setiap tahun sebagai usaha memperkasa institusi masjid dan surau.

Sumbangan berjumlah RM200,000 disalurkan kepada 40 masjid dan surau dalam Parlimen Batu Gajah bagi tujuan mengatur program berbuka puasa serta aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan.

Iklan

"Ketika itu sebagai wakil rakyat pembangkang, saya berdepan kekangan kewangan untuk menyalurkan bantuan besar kepada rumah-rumah ibadat.

"Apabila tiba Ramadan, ada masjid dan surau yang datang memohon sumbangan, tetapi mereka memahami keadaan saya dan mereka hanya minta RM300, RM400 atau RM500.

Iklan

"Saya sendiri rasa jumlah itu tidak mencukupi, namun mereka tetap menghargai dan menjemput saya ke majlis berbuka puasa,” katanya kepada pemberita sempena majlis Penyerahan Sumbangan Ramadan Parlimen Batu Gajah di sini pada Sabtu.

Timbalan Pengerusi DAP Perak itu berkata, pengalaman tersebut menimbulkan tekad untuk membantu dengan jumlah yang lebih signifikan sekiranya diberi peluang menjadi wakil rakyat kerajaan.

Katanya, hasrat itu dapat direalisasikan pada 2023 apabila beliau mula menyalurkan RM5,000 kepada setiap masjid dan surau di Parlimen Batu Gajah dan berikrar untuk meneruskannya pada masa akan datang.

"Saya mahu apabila masuk sahaja Ramadan, mereka sudah tahu akan menerima sumbangan ini dan boleh merancang program iftar, moreh serta aktiviti lain dengan lebih teratur dan sempurna," ujarnya.

Majlis penyerahan tersebut dihadiri kira-kira 350 wakil masjid dan surau dan ketua kampung serta Orang Besar Jajahan Kinta, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan.