Tidak sampai 20 peratus bayar kompaun kadar rata - JPJ

Iklan
Kifli (kanan) membuat pemeriksaan terhadap pemandu motosikal dalam operasi Sempena Hari Raya Aidiladha pada Khamis.

KOTA BHARU – Tidak sampai 20 peratus pemandu yang disaman membuat pembayaran Kadar Kompaun Khas Kadar Rata (flat rate) yang ditawarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 3 Januari lalu.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Kifli Ma Hassan berkata, masih ramai yang belum membuat pembayaran ke atas tiga kesalahan yang ditawarkan jabatan berkenaan, iaitu saman Awas (Saman 53A), Notis 114 (notis panggilan temu siasat) dan Notis 115/Notis JPJ (P 23).

Iklan
Iklan

Beliau menasihati pemandu yang terlibat dengan saman tersebut agar tidak bertangguh untuk membuat pembayaran di saat akhir.

"Jangan memilih di saat akhir kerana kemungkinan akan berlaku kesesakan dalam talian di kaunter pembayaran atau kiosk,” katanya ketika mengetuai operasi sempena Hari Raya Aidiladha pada Khamis.

Iklan

Beliau memaklumkan bahawa semua saluran telah dibuka bagi memudahkan pembayaran kompaun tersebut, termasuk aplikasi MyJPJ, kiosk dan kaunter Mobile.

Bagaimanapun, katanya, ramai pengguna lebih memilih untuk membuat bayaran melalui aplikasi MyJPJ.

Iklan

"Alhamdulillah, banyak bayaran dilakukan melalui aplikasi itu dan pencapaian setakat ini adalah membanggakan,” katanya.

Menurut beliau, sehingga 5 Jun (semalam), sebanyak 374,024 saman telah dibayar dengan jumlah kutipan melebihi RM56 juta, melibatkan 347,326 saman Awas, 21,538 saman untuk Notis 114 dan 5,160 saman untuk Notis 115.

"Saya ingin menyarankan kepada semua pengguna jalan raya yang masih lagi mempunyai saman berkaitan tiga kesalahan ini supaya mengambil peluang ini kerana tempoh yang diberikan tidak sampai sebulan lagi.

"Bayaran istimewa ini bertujuan menyelesaikan saman tertunggak dengan kadar yang lebih rendah kerana selepas itu, kadar kompaun akan kembali kepada jumlah asal iaitu RM300,” katanya.

Kadar Kompaun Khas Kadar Rata itu akan berakhir pada akhir bulan ini.