SHAH ALAM – Seorang graduan Institut Kemahiran Mara (IKM) Kampung Pandan membuktikan lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu berjaya hingga ke peringkat antarabangsa apabila kini berkhidmat sebagai mekanik badan kapal terbang Qatar Airways di Doha.
Pengalaman itu dikongsi oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Jumaat.
Menurut beliau, seorang anak muda menyapa dan memperkenalkan diri sebagai graduan IKM ketika beliau dalam penerbangan pulang dari Doha ke Kuala Lumpur.
"Bidang apa? Sijil Teknologi Fabrikasi. Saya kini bekerja dengan Qatar Airways di Doha sebagai mekanik membaiki badan kapal terbang.
"Boleh saya tahu berapa gaji yang dibayar? Dalam RM17,000 ke RM20,000,” kongsi Asyraf sewaktu menggamit semula pengalaman berbual dengan pemuda berkenaan.
Justeru, Ketua Pemuda UMNO itu menyifatkan kejayaan anak muda bernama Ibrahim berasal dari Merlimau, Melaka itu sebagai satu kebanggaan buat Mara dan bukti kejayaan sistem pendidikan berasaskan kemahiran.
"Menurut Ibrahim, semua rakan seangkatan beliau yang merupakan lepasan IKM Kuala Lumpur juga mendapat pekerjaan dalam bidang sama dengan gaji hampir serupa.
"Beliau amat berbangga menjadi anak Mara,” menurut Asyraf Wajdi lagi.
Justeru, Asyraf Wajdi turut menolak tanggapan lulusan TVET tidak boleh berjaya.
"Siapa kata lulusan TVET tidak boleh berjaya?” soalnya.
Jelas Asyraf Wajdi, bidang kemahiran dan vokasional yang ditawarkan Mara melalui institusi seperti GiatMara, IKM, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Malaysia-Japan Industrial Institute (MJII), UniKL dan German-Malaysian Institute (GMI) telah terbukti berjaya melahirkan ramai tenaga kerja mahir bertaraf antarabangsa.
"Ibrahim satu contoh bagaimana hanya dengan sijil kompetensi dan profesional dalam bidang TVET boleh mendapat kerja bergaji besar hingga diiktiraf di peringkat antarabangsa.
"Hanya dengan ilmu boleh mengubah kehidupan!” ujarnya.