Petronas ke mahkamah selesaikan isu kawal selia petroleum di Sarawak

Iklan
Langkah right-sizing Petronas memberi isyarat bahawa GLC juga tidak terkecuali daripada keperluan penyesuaian struktur.

KUALA LUMPUR - Petronas memfailkan suatu notis usul di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya bertujuan untuk mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai bagi operasi petroleum di Sarawak.

Petronas dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, permohonan berkenaan difailkan dengan tujuan memastikan Petronas terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia serta amalan tadbir urus yang baik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, permohonan tersebut tidak berhasrat untuk mencabar aspirasi pembangunan Sarawak mahupun menghalang peranan yang dimainkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dalam sektor tenaga di negeri tersebut.

"Keputusan memfailkan usul tersebut dibuat susulan perbincangan serta rundingan yang berjalan semenjak tahun 2024 bersama Petros dan kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri.

Iklan

"Meskipun terdapat kemajuan yang telah dicapai dalam rundingan komersial dan perkongsian, termasuklah pemeteraian Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) pada tahun 2020, namun masih terdapat perbezaan pendapat berhubung kerangka kawal selia yang terpakai kepada Petronas," katanya.

Sehubungan itu katanya, semua pihak digesa menghormati proses perundangan serta peranan sistem kehakiman negara dalam meneliti perkara ini.

Iklan

"Petronas juga menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan proses perundangan dan memberi ruang kepada Mahkamah Persekutuan untuk membuat penilaian sewajarnya berkenaan usul yang dikemukakan," katanya.

Pada masa sama, kenyataan tersebut menegaskan, Petronas tetap komited untuk melaksanakan operasi dengan telus dan penuh tanggungjawab di Sarawak serta seluruh operasi akan terus berjalan seperti biasa.

"Petronas akan terus memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat dan industri di Sarawak selain bekerjasama ke arah memajukan aspirasi pembangunan Sarawak serta memelihara kemakmuran Malaysia.

"Petronas kekal komited untuk memastikan komunikasi yang telus mengenai operasinya termasuk kegiatan usaha sama syarıkat," katanya.