SPRM sita Menara Ilham lagi, peguam Na’imah tampil cabar di mahkamah

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai SPRM menyita bangunan Menara Ilham yang terletak di Jalan Binjai, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pasukan peguam yang mewakili Toh Puan Na’imah Abdul Khalid akan mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyita semula Menara Ilham di mahkamah dengan serta-merta.

"Kami akan failkan cabaran di mahkamah terhadap penyitaan Menara Ilham demi memastikan keadilan ditegakkan,” tegas kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, iaitu Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal pada Khamis.

Iklan
Iklan

Menurut mereka, tindakan penyitaan kali kedua terhadap bangunan sama yang dikaitkan dengan Daim disifatkan sebagai tidak berasas, melampau serta bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang.

Mereka menyelar langkah itu sebagai satu bentuk gangguan berterusan serta penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa, lebih-lebih lagi apabila tiada sebarang pertuduhan rasuah difailkan terhadap anak guam mereka sehingga kini.

Iklan

"Tindakan ini bukan sahaja tidak munasabah, malah mencerminkan seolah-olah SPRM beroperasi mengikut undang-undang rimba,” katanya.

Menurut mereka lagi, Menara Ilham telah pun disita sebelum ini dan penyitaan semula tersebut membuktikan ketidakselarasan serta kecelaruan dalam tindakan SPRM.

Iklan

"Adakah SPRM sedang bermain kerusi muzik dengan undang-undang?” soal mereka.

Dalam pada itu, mereka turut mempersoalkan tindakan berulang SPRM, sedangkan Perdana Menteri dan Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri masih belum mengemukakan sebarang pertuduhan terhadap Daim meskipun beberapa kali membuat dakwaan dan sindiran terbuka.

"Kegagalan untuk mendakwa anak guam kami tidak menghalang SPRM daripada terus mengganggu beliau dengan penyitaan kali kedua ini,” jelas mereka.

Peguam turut menyatakan bahawa tidak wujud sebarang bukti kukuh berkaitan sebarang perbuatan rasuah terhadap Daim, menjadikan tindakan menyita asetnya sebagai tidak sah.

"Inilah yang kami sifatkan sebagai satu tindakan bersifat balas dendam, tidak sah di sisi undang-undang dan penyalahgunaan kuasa secara terang-terangan oleh SPRM,” ujar mereka.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa tindakan tersebut bercanggah dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan hanya mencerminkan keinginan untuk menghukum tanpa proses perundangan yang adil.

Ia menambah bahawa penyitaan ini akan dibawa ke muka pengadilan bagi memastikan undang-undang ditegakkan dan keadilan kepada Daim dapat dipertahankan.

Terdahulu, SPRM mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menyita semula bangunan Menara Ilham yang terletak di Jalan Binjai, Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan SPRM pada Khamis, sitaan itu dibuat berdasarkan Notis Penyitaan Harta Tak Alih mengikut Seksyen 51(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) bertarikh 4 Jun.