Guang, Sepet kembali ke pawagam

Iklan
Nie Ching menguji alat XR dan Al selepas merasmikan Edisi Kedua Festival Budaya Filem China-Malaysia baru-baru ini.

DUA filem ikonik tempatan, Guang dan Sepet, antara karya yang terpilih untuk ditayangkan semula sempena Festival Budaya Filem China-Malaysia Edisi Kedua yang berlangsung dari 30 Mei hingga 8 Jun ini.

Festival bertemakan Klasik ke Masa Depan XR, diasaskan dan dianjurkan oleh Lomo Pictures Sdn. Bhd., merupakan inisiatif tahunan bagi memperkukuh hubungan kreatif dan industri antara China dan Malaysia melalui kuasa filem.

Iklan
Iklan

Ia diadakan secara bergilir antara dua negara setiap tahun dengan menampilkan filem cemerlang daripada kedua-dua pihak, di samping menjadi platform dialog melalui tayangan, forum dan acara budaya bagi menggalakkan pertumbuhan serantau dalam bidang penceritaan dan kerjasama rentas sempadan.

Festival ini turut mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), serta kerjasama GSC International Screens dan China Film Archive.

Iklan

Majlis perasmian diadakan di GSC Mid Valley Megamall dan dihadiri oleh Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, serta Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Menurut Pengerusi Penganjur, Aron Koh, festival kali ini memberi peluang kepada penonton menyaksikan pelbagai filem pilihan dari Malaysia dan China, merangkumi filem klasik, kontemporari serta pelbagai genre.

Iklan

Aron Koh berucap memperkatakan tentang kerjasama filem antara kedua-dua negara.

"Festival ini bukan sekadar tayangan filem semata-mata, tetapi menjadi jambatan budaya antara dua negara menerusi bahasa universal filem,” ujarnya.

Antara filem menarik yang bakal ditayangkan termasuk The Goddess (1934), sebuah filem bisu klasik China yang telah dibaik pulih, serta Creation of the Gods I dan II, iaitu filem fantasi sejarah pecah panggung dari China.

Malaysia pula diwakili oleh Guang arahan Quek Shio Chuan, Sepet karya Yasmin Ahmad, dan Blooms of Happiness arahan Ryon Lee.

Selain tayangan, festival turut menganjurkan bengkel lakonan bersama pengarah Hong Kong, Clifton Ko, dan forum teknologi filem yang menyentuh penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta realiti terimbuh (XR) dalam industri perfileman.

Menariknya, Lomo Pictures turut mengumumkan kerjasama strategik jangka panjang bersama Beijing Tianying Holdings Group untuk menerbitkan produksi pertama berasaskan XR antara China dan Malaysia.

Aron Koh (tiga dari kanan) bersama Nie Ching merasmikan Festival Budaya Filem China-Malaysia.

Festival ini turut berlangsung serentak di GSC Gurney Plaza, Pulau Pinang, dan selepas edisi Malaysia, akan diteruskan di Xi’an, China.

Tiket untuk menonton filem terlibat dijual pada harga serendah RM10, dan boleh didapati melalui laman web rasmi GSC, aplikasi mudah alih GSC atau kiosk layan diri di pawagam terpilih.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti laman Facebook dan Instagram rasmi festival.