Amelia Henderson bakal tampil program baru, eksperimen kandungan digital

Iklan
Amelia Henderson ketika menghadiri Pelancaran Cetaphil Ceramide Repair Lotion di 1 Utama Shopping Centre baru-baru ini. Foto Bernama

SELEPAS lebih tiga tahun membina Studio Sembang sebagai program audio siar bermakna, aktres jelita Amelia Henderson tampil dengan langkah berani memperluaskan jenama itu ke dimensi baharu menerusi spin-off digital, sejajar dengan landskap tontonan pantas masa kini.

Dengan mengekalkan inti pati kandungan atau sesuatu topik dalam program itu, Studio Sembang yang disiarkan menerusi medium YouTube diolah semula pelakon dan penerbit berusia 30 tahun ini dengan gaya digital lebih ringkas, sekali gus memudahkannya diakses mereka yang gemar kandungan berdurasi singkat.

Iklan
Iklan

Sesuai dengan kehendak generasi muda dan kehidupan hari ini yang tidak terpisah daripada media sosial, pendekatan baharu ini yang akan dimuatnaikkan ke platform media sosial menurut Amelia, adalah sebahagian daripada perjalanan kreatifnya untuk terus berkembang dalam dunia hiburan digital.

"Show baharu yang kami nak buat ini macam sambungan Studio Sembang, tapi benda baharu. Fokus tahun ini adalah digital sebab saya percaya masa depan dunia digital sangat cerah. Orang sekarang suka scroll (begitu juga dengan) saya...Suka tengok benda yang 15 saat, laju.

Iklan

"Saya sayang Studio Sembang sebab ia sangat meaningful, heartfelt, long-form content yang cantik dan ada tempatnya sendiri. Jadi tahun ni, saya nak cuba short-form content, senang untuk orang tengok, tak payah commit tiga jam untuk dengar podcast,” katanya kepada Bernama.

Ditemui baru-baru ini semasa Majlis Pelancaran Cetaphil Ceramide Repair di sini, hos Sembang Santai berdarah kacukan India dan Scotland itu berkata, program audio siar tersebut masih lagi ada dan akan berjalan seiring dengan pelaksanaan kandungan digital baharu.

Iklan

Pendekatan itu yang diambil aktres ini tatkala Studio Sembang masih lagi mendapat tempat di hati penonton serta penah diiktiraf sebagai"Entertaining Podcast of The Year" pada majlis Malaysia Top Achievers Awards 2023, adalah bagi membolehkannya berinteraksi dengan penonton secara lebih dekat.

Tidak menafikan biarpun kandungan digital itu lebih pendek berbanding sebelumnya, bintang filem Harimau Malaya ini berkata setiap projek tetap diberi perhatian penuh bagi memastikan kualiti kekal terjaga dan mesej program dapat disampaikan dengan jelas dan difahami penonton.

"Bagi saya, ini bukan sekadar ikut trend. Ia tentang bagaimana saya boleh terus berkarya, dekat dengan penonton dan belajar cara baharu dalam dunia hiburan,” tambah Amelia.

Tidak melupakan kerjaya lakonan, heroin Blood Brothers: Bara Naga itu juga berkongsi akan beraksi semula di set penggambaran sekitar Mac ini bagi beberapa projek filem baharu selain ligat dengan perniagaan gelanggang pickleball yang dibuka pertengahan tahun lepas.

Amelia berkata, minat terhadap sukan dan gaya hidup sihat mendorongnya menubuhkan gelanggang itu yang bukan sekadar sebagai perniagaan tetapi juga untuk menggalakkan orang ramai menjalani gaya hidup aktif.

"Orang suka pickleball dan saya rasa benda ini bagus. Saya harap bila saya buka satu tempat untuk main pickleball, ia boleh menggalakkan orang untuk bersenam. Tak kisah pun kalau mereka tak datang tempat saya, janji mereka boleh mulakan sesuatu yang sihat,” ujarnya. - Bernama