RUMAH tangga pelakon Uqasha Senrose dan Kamal Adli akhirnya berakhir apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.
Kamal atau nama lengkapnya Ahmad Kamal Adli, 39, melafazkan cerai talak satu terhadap Uqasha pada pukul 12.56 tengah hari di hadapan Hakim Siti Noraini Mohd Ali.
Perceraian itu berlaku selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Uqasha mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Pada prosiding hari ini, Kamal dan Uqasha hadir bagi menjalani prosiding hakam islah susulan wujud pertikaian apabila Kamal sebelum ini enggan menceraikan isterinya selepas prosiding Jawatankuasa Pendamai (JKP) gagal mencapai persetujuan.
Sebelum ini, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
Untuk rekod, pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 19 bulan. -Gempak/ Awani