Kebakaran Putra Heights: Suasana lengang, kerja pembaikan rumah belum dimulakan

Iklan
Kerja pembaikan bagi rumah musnah sepenuhnya di Kampung Kuala Sungai Baru masih belum dimulakan.

SUBANG JAYA - Suasana di sekitar kawasan kejadian letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini, masih sunyi dan lengang walaupun insiden tersebut telah berlaku sejak lebih dua bulan lalu.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi berkenaan mendapati hanya beberapa kenderaan, dipercayai milik pemilik rumah yang terjejas, melalui kawasan terbabit.

Iklan
Iklan

Selain itu, difahamkan beberapa jengkaut dan lori turut berada di lokasi berkenaan bagi kerja-kerja pengorekan untuk tujuan penyiasatan serta pemulihan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Sementara itu, tinjauan di Kampung Kuala Sungai Baru di sini turut mendapati kerja-kerja pembaikan dan pembinaan semula bagi rumah yang terjejas sepenuhnya masih belum dilaksanakan.

Iklan

Menurut salah seorang penduduk, mangsa yang terjejas teruk telah menyewa di kawasan lain seperti di Jenjarom dan Sepang, manakala segelintir daripadanya masih menyewa di lokasi sama.

Beberapa jengkaut dan lori turut berada di lokasi berkenaan untuk kerja-kerja pengorekan bagi tujuan penyiasatan serta pemulihan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

"Apa yang saya tahu, mereka sudah menyewa tempat lain, ada beberapa yang masih di sini (Kampung Kuala Sungai Baru),” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Rahimah.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melengkapkan siasatan berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights, termasuk siasatan membabitkan unsur kecuaian atau khianat.

Suasana di sekitar kejadian letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini masih sunyi dan lengang walaupun insiden tersebut telah berlaku sejak lebih dua bulan lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya kini masih menunggu hasil siasatan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang dijangka dikeluarkan pada penghujung Jun.

Beliau berkata, setakat ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Petronas telah membantu pihak polis mendapatkan spesimen yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan.

Dalam insiden pada 1 April lalu, api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadam sepenuhnya, selain menyebabkan terbentuknya kawah sedalam 9.8 meter di lokasi kejadian.

Susulan itu, sebanyak 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 lagi separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.