MELAKA -"Bila laungan azan dilakukan sepupu saya lebih kurang 10 malam, barulah lembu betina yang hilang dijumpai namun anak saya belum ditemui."
Demikian kata Siti Norehan Azhar, 38, mengenai kehilangan anak lelakinya, Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15 yang juga orang kurang upaya (OKU) pembelajaran.
Siti Norehan yang juga peniaga kedai makan berkata, haiwan ternakan itu ditemui di dalam kolam terbiar namun sedih anaknya masih tidak ditemui sedangkan dia dipercayai sesat ketika mencari lembu itu.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu anaknya yang mesra dipanggil 'Gemuk' dalam kalangan ahli keluarga kira-kira jam 6.30 petang dan dia sempat meminta RM3 untuk membeli air sebelum memberitahu mahu masuk ke dalam hutan menjaga lembu.
Katanya, anak kedua daripada enam beradik itu rajin membantu menjaga lembu bapa saudaranya sebanyak 13 ekor dan lazimnya akan menjaga haiwan ternakan itu dari jam 7 malam hingga 7.30 malam.
"Bila dah jam 8 malam saya pelik sebab Aidil tak balik-balik ke rumah lalu sepupu saya keluar mencarinya.
"Ketika mencari, sepupu saya kemudian melaungkan azan dan lembu itu ditemui berada dalam salah satu daripada dua kolam terbiar di hutan itu," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi di Kampung Permatang Pasir, di sini, pada Khamis.
Ujarnya, setelah menunggu namun anaknya masih tidak ditemui dia membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan pihak berkuasa bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat.
Katanya, dia yakin anaknya tidak pergi ke kawasan yang jauh lebih-lebih lagi dia bukannya anak remaja yang suka melepak di rumah rakan.
"Dia tak seperti remaja lain, dia lebih suka buat hal sendiri dan biasa rakannya yang datang mencarinya ketika dia menjaga lembu.
"Sejak tiga tahun jaga haiwan ternakan pak ciknya dia tak pernah hilang dalam tempoh lama seperti ini," katanya lagi.