Thailand sedia hadapi serangan Kemboja - Paetongtarn

Iklan
Paetongtarn bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan pada Rabu. Foto Bangkok Post

BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra menegaskan bahawa negaranya bersedia sepenuhnya sekiranya berlaku pertempuran dengan tentera Kemboja di sempadan, namun tetap memilih penyelesaian secara aman dalam menangani pertikaian wilayah antara kedua-dua negara.

"Thailand cintakan keamanan, namun tidak pernah gentar apabila tiba saat untuk mempertahankan negara," katanya ketika menjawab pertanyaan media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan, pada Rabu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kerajaan telah mengeluarkan kenyataan rasmi pada pagi Rabu bagi menegaskan pendirian Thailand yang mahu melindungi rakyatnya, namun tetap terbuka untuk berbincang secara diplomatik dengan Kemboja.

"Kami sudah bersedia untuk menjaga keselamatan seluruh rakyat Thailand. Jika berlaku pertempuran, kami sedia bertindak balas. Kami bersedia sepenuhnya tetapi tetap memilih jalan damai. Ini kerana kami tidak mahu berlakunya pertumpahan darah atau korban jiwa, sama ada dalam kalangan rakyat kami mahupun rakyat mereka,” ujarnya.

Iklan

Paetongtarn turut mengakui bahawa beliau mempunyai hubungan rapat secara peribadi dengan Perdana Menteri Kemboja.

"Jika kawan bergaduh, mereka perlu berdamai. Tapi kalau kawan menuntut rumah kita, siapa pun takkan rela menyerahkannya,” katanya.

Iklan

Mesyuarat Kabinet turut membincangkan insiden pertempuran kecil yang berlaku di kawasan Chong Bok, wilayah Ubon Ratchathani, dan memutuskan bahawa rakyat Thailand harus bersatu dalam isu ini.

"Janganlah kita saling menyalahkan. Kerajaan perlukan sokongan semua pihak untuk mengurus isu ini dengan sebaik mungkin,” tambahnya.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan merangkap Timbalan Perdana Menteri, Phumtham Wechayachai, dijadualkan melawat kawasan sempadan yang terlibat pada sebelah petang.

Kerajaan juga sedang meneliti kemungkinan untuk menutup sementara sempadan yang terjejas dan sedang mempertimbangkan kesan buruk serta manfaat langkah tersebut.

"Kami meneliti semua faktor berkaitan keselamatan, adakah penutupan sempadan akan mengundang lebih banyak keganasan atau dapat meredakan keadaan. Semua ini dibincangkan secara rapi bersama pihak tentera,” jelas Paetongtarn.

Sementara itu, Phumtham memaklumkan bahawa kerajaan berharap pertikaian wilayah ini tidak akan dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dan hanya kekal terhad kepada kawasan sengketa semasa.

Menurut beliau, Thailand dan Kemboja telah bersetuju untuk membincangkan isu sempadan tersebut secara bersama menerusi mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC) yang dijadualkan berlangsung pada 14 Jun ini.

"Kerajaan sedang membuat persiapan dari sudut undang-undang, rundingan diplomatik dan juga dari segi ketenteraan jika diperlukan,” katanya. - Agensi