Pelatih PLKN 3.0 teruja menembak guna M16

Iklan
Para pelatih menjalani latihan menembak di bawah bimbingan 'pengasuh' masing-masing pada sesi latihan di Lapang Sasar Mawilla 1, Tanjung Gelang di sini pada Rabu.

KUANTAN - Peluang menjalani latihan menembak menggunakan senjata ringan jenis M16 menjadi pengalaman baharu yang sangat berharga buat pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Rejimen 505, Kem Force, Sungai Miang, Pekan.

Rata-rata pelatih yang ditemui mengakui pada awalnya berasa gementar dan takut kerana pertama kali memegang senjata tersebut, namun semuanya berjalan lancar hasil tunjuk ajar jurulatih melalui latihan asas pengendalian senjata yang diberikan.

Iklan
Iklan

N Haruna, 21, dari Klang, Selangor, meluahkan rasa gembira dan teruja apabila berpeluang memegang serta menembak menggunakan senjata M16.

Menurutnya, peluang tersebut merupakan antara detik paling berharga dalam hidupnya.

Iklan

"Memang gembira dan seronok walaupun timbul juga rasa gementar serta sedikit takut untuk melakukan tembakan.

"Atas tunjuk ajar jurulatih, saya dapat lakukannya dengan baik dan semuanya berjalan lancar,” katanya ketika ditemui selepas latihan di Lapang Sasar Mawilla 1, Tanjung Gelang, pada Rabu.

Iklan
Para pelatih menjalani latihan menembak di pada sesi latihan di Lapang Sasar Mawilla 1, Tanjung Gelang di sini pada Rabu.

Perasaan hampir sama turut dikongsi Aiman Khawarizmi Kamaruddin, 20, dari Kelantan, lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), yang menyifatkan keputusannya menyertai PLKN 3.0 secara sukarela sebagai tepat pada masanya.

Katanya, ilmu ketenteraan dan pengalaman yang diperoleh sepanjang latihan ini mampu menjadikan pelatih sebahagian daripada barisan ketiga sekiranya berlaku konflik dalam negara.

"Hari ini saya sangat teruja apabila dapat peluang menembak menggunakan M16 bagi jarak 25 hingga 100 meter,” katanya yang kini menunggu peluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

Bagi Tenh Siang Shen, 18, dia pada mulanya keberatan untuk mengikuti latihan selepas menerima surat panggilan, malah keluarganya juga bimbang akan latihan ala tentera yang dianggap berat.

"Banyak perkara baharu yang saya pelajari, dan paling teruja ialah peluang memegang serta menggunakan senjata api sebenar kerana ia tidak terdapat di tempat lain kecuali menyertai pasukan keselamatan,” ujarnya.

Pelatih dari Papar, Sabah, Desmond Oliver Jilah Sumpongol, 18, turut berkongsi keterujaan menyertai latihan PLKN 3.0 meskipun perlu berpisah dengan keluarga.

"Selain gembira kerana pertama kali menjejakkan kaki ke tanah Semenanjung, saya juga berpeluang mengikuti latihan ala tentera selama 45 hari di sini.

"Mulanya ada juga rasa berat hati, tapi bila sudah berada di sini semuanya baik-baik saja. Dapat belajar benda baharu, ada kawan baru, dan paling seronok dapat menembak guna M16,” katanya.

Para pelatih diberikan penjelasan tentang keputusan yang diperoleh berdasarkan ketepatan tembakan.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Operasi Latihan, Jabatan Latihan Khidmat Negara, Kolonel Mazlizan Shaikh Osman berkata, seramai 257 pelatih lelaki di Cawangan Khidmat Negara 505 menjalani latihan menembak M16 selama dua hari iaitu pada Rabu dan Khamis.

Menurut beliau, sesi pertama melibatkan 123 pelatih dari Kompeni Alpha dan Bravo, manakala Kompeni Charlie dan Delta dijadualkan menjalani latihan pada Khamis.

"Latihan menembak ini melibatkan jarak antara 25 hingga 100 meter menggunakan senjata M16.

"Ia turut merangkumi empat kedudukan menembak iaitu meniarap, duduk, melutut dan berdiri,” jelas beliau.