JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor disaran mempertimbangkan permintaan penduduk Kampung Melayu Majidee yang mahu menukar status tanah Rizab Melayu (TRM) daripada pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal, sebagaimana dilaksanakan oleh kerajaan Negeri Sembilan sejak 2019.
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan progresif yang diambil Negeri Sembilan telah terbukti memberi manfaat bersama kepada pemilik tanah dan pihak kerajaan negeri.
"Inisiatif kerajaan Negeri Sembilan ini merupakan sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan ia telah membuka ruang kepada pemilik tanah TRM untuk menikmati status hak milik kekal.
"Ia bukan sahaja meningkatkan nilai hartanah, tetapi juga memberikan keyakinan kepada pemilik untuk membangunkan tanah mereka secara lebih produktif,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, antara syarat permohonan ialah pemilikan tanah mestilah didaftarkan sebelum 8 Mei 2018, pemohon merupakan warganegara Malaysia dan hanya satu hartanah kediaman boleh dipohon bagi setiap individu. Tanah juga tidak boleh dijual selama 10 tahun selepas pertukaran dibuat.
Tambahnya, meskipun tanah ditukar kepada hak milik kekal, kerajaan negeri tetap memperoleh hasil seperti cukai tahunan dan cukai pintu daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lazimnya lebih tinggi disebabkan kenaikan nilai pasaran.
"Lebih penting, langkah ini mengurangkan beban pentadbiran untuk memproses sambungan pajakan dan memastikan tanah TRM kekal milik orang Melayu untuk diwarisi oleh generasi seterusnya,” katanya.
Jelas beliau lagi, penukaran status tanah ini juga membantu pemilik mendapat pembiayaan lebih mudah daripada institusi kewangan kerana status hak milik kekal lebih diyakini pemberi pinjaman, selain berpeluang menerima pampasan lebih tinggi sekiranya berlaku pengambilan balik tanah oleh kerajaan.
Dalam kenyataan sama, Dzulkefly menegaskan bahawa kerajaan Johor tidak akan mengalami kerugian jika melaksanakan langkah sama, malah jumlah keseluruhan TRM negeri dijangka kekal pada 561,787.83 hektar atau 30 peratus daripada keluasan negeri.
"Dasar ini selaras dengan Wasiat Raja-Raja Melayu 1957 yang menyarankan 50 peratus tanah sesebuah negeri diperuntukkan sebagai Rizab Melayu. Ia satu langkah bijak ke arah memperkukuh pegangan tanah orang Melayu secara jangka panjang,” katanya.