SERING kita mendengar pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti akan menjadikan Tingkatan Enam sebagai pilihan terakhir, menduduki peperiksaan untuk mendapatkan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Mereka berbuat demikian kerana khuatir tidak dapat menyambung pelajaran dalam mana-mana bidang diingini, sekali gus tiada ruang atau peluang untuk belajar lagi. Ada juga berpandangan Tingkatan Enam tidak setaraf dengan mengikuti program matrikulasi, diploma atau asasi.
Itulah persepsi mengenai Tingkatan Enam beberapa tahun lalu. Ketika itu, pelajar masih perlu mengenakan pakaian seragam dan sekali lagi ‘merasai’ suasana sekolah — perkara yang akan dilalui jika ambil Tingkatan Enam.
STPM juga sering digambarkan sebagai antara peperiksaan paling mencabar, menyebabkan pelajar yang mempunyai impian ke menara gading tidak meneruskan niat tersebut.
Bagaimanapun, di sebalik persepsi itu, STPM masih kekal sebagai landasan utama untuk membina ketahanan mental dan kecemerlangan intelek dalam kalangan pelajar prasiswazah.
Pelajar Tingkatan Enam kini boleh berpakaian bebas seperti baju kurung, bertudung atau mengikat rambut dengan kemas bagi pelajar perempuan bukan Islam dan berkemeja serta bertali leher untuk pelajar lelaki. Lebih menarik, ‘sebelah kaki’ sudah dijamin untuk memasuki universiti pilihan masing-masing dengan bidang yang mereka minati apabila mengambil keputusan ke Tingkatan Enam.
Jadi, benarlah Tingkatan Enam wajar menjadi medium melanjutkan pelajaran selepas SPM kerana ia setanding program antarabangsa seperti Cambridge.
Malah, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan STPM bukan laluan kelas kedua kerana kelulusan itu mendapat pengiktirafan lebih daripada 2,000 universiti di seluruh dunia.
Jelas beliau, penjenamaan semula Tingkatan Enam antara usaha strategik yang dilaksanakan seiring aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 dalam memperkasa laluan pasca menengah.
Dengan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus memperkasakan Tingkatan Enam sebagai laluan utama pelajar lepasan SPM ke menara gading. Penjenamaan semula Tingkatan Enam adalah usaha strategik yang inklusif dan berdaya saing demi memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
Seiring dengan komitmen tersebut, KPM turut mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dalam menjayakan agenda pendidikan negara termasuk menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Tidak dinafikan, struktur peperiksaan STPM yang bersifat modular itu digabungkan dengan komponen kerja kursus dan peperiksaan akhir menjadikan ia satu bentuk penilaian menyeluruh.
Ia bukan sekadar menguji kemampuan pelajar dalam memahami teori semata-mata, malah menilai kematangan dalam analisis, penulisan dan penyampaian idea. Malangnya, kurang pendedahan mengenai kelebihan STPM menyebabkan ramai pelajar masih memilih laluan lain tanpa benar-benar mengetahui atau memahami potensi sebenar sistem tersebut.
Jadi, sudah tiba masanya untuk masyarakat mengubah persepsi tersebut bahawa setiap laluan pendidikan mempunyai nilai tersendiri jika dihayati dengan kesungguhan. STPM bukan sekadar peperiksaan, ia adalah simbol kekuatan mental, kecerdasan intelektual dan ketekunan jiwa seorang pelajar.
Kesimpulannya, walaupun sering dipandang rendah, laluan Tingkatan Enam sebenarnya penuh dengan kelebihan dari segi kos, masa hinggalah peluang masa depan.
Buanglah jauh-jauh stigma Tingkatan Enam sebagai pilihan susah, pilihan berat atau pilihan akhir kerana ramai sahaja dalam kalangan orang yang berjaya pun bermula dengan pendidikan Tingkatan Enam!
* Qurratul'aina Quddus ialah wartawan Sinar Bestari