SHAH ALAM - Seorang remaja kurang upaya kategori pembelajaran (LD) yang menghadapi disleksia, diskalkulia dan autisme ringan, Nayli Wafiy Abdul Razak,15, mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya berenang sejauh 11.6 kilometer (KM) di Sungai Perak, melebihi sasaran awal lima kilometer.
Ibu kepada remaja tersebut, Saidatul Shuhada Shuib, 47 berkata, pencapaian itu adalah sebahagian daripada kajian peribadinya mengenai kesan aktiviti renang terhadap fungsi otak.
Menurut Saidatul Shuhada, Nayli Wafiy menjalani latihan rapi selama empat bulan selepas menyatakan keinginan untuk berenang di sungai setelah berjaya melakukan perkara sama di laut dan tasik.
"Nayli cakap nak berenang di sungai sebab belum pernah cuba dan sungai lebih mencabar kerana ada arus deras serta pusar air. Pada awalnya rancang 5 KM tetapi tidak sangka dia boleh buat lebih baik dari jangkaan iaitu 11.6 KM.
"Alhamdulillah, keputusan akademiknya turut membuktikan keberkesanan projek ‘brain gym’ ini kerana ada subjek yang dulunya gagal kini meningkat kepada gred B.
"Selain itu, renangan kali ini juga membawa mesej kelestarian alam sekitar kerana sungai Perak masih bersih, tak seperti laut yang penuh sampah," ujarnya kepada Sinar Harian.
Tambah Saidatul Shuhada, ketika berenang di Sungai Perak anaknya berjaya keluar daripada pusar air dengan membaca zikir berulang kali seperti yang diajar sebelum ini.
Katanya, dia dan suami sangat bersyukur kerana Nayli Wafiy berjaya serta selamat walaupun air sungai ketika itu sedang dilepaskan dari empangan.
"Harapan saya, Nayli terus berenang di laut, sungai dan tasik kerana acara renang kolam tidak benarkan pemakaian muslimah.
"Kami pernah terpaksa tarik diri daripada pasukan negeri kerana Nayli diminta pakai bikini, tetapi kami reda dan teruskan mengikut cara sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Saidatul Shuhada mengharapkan lebih banyak universiti berminat menjadikan anaknya sebagai kajian kes untuk manfaat pendidikan negara.
"Kejayaan ini bukan sahaja bukti semangat Nayli, tetapi juga mesej bahawa remaja istimewa mampu melangkaui batas jika diberi peluang. Kami akan teruskan usaha ini sebagai jalan dakwah dan inspirasi kepada ibu bapa yang memiliki anak istimewa.
"Saya juga berharap ada pihak sudi taja Nayli dapatkan 'Malaysia Book of Records' untuk renangan seterusnya kerana kos tersebut agak tinggi,” ujarnya.
Pada masa sama, Saidatul Shuhada turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang turut menjayakan misi ini tanpa sebarang insiden tidak diingini.
"Antara pihak yang terlibat adalah polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pemilik resort berdekatan sungai tersebut," jelasnya.