Penduduk bantah pembangunan 979 unit pangsapuri di cerun berisiko

Iklan
Sekumpulan penduduk Empire Residence berkumpul di luar bangunan Ibu Pejabat MBPJ selepas sesi taklimat pemaju.

PETALING JAYA - Ketegangan memuncak di Damansara Perdana apabila lebih 100 pemilik kediaman Empire Residence membantah keras cadangan pembangunan tiga blok pangsapuri setinggi 21 tingkat melibatkan 979 unit yang dirancang dibina di atas cerun Kelas IV.

Ini kerana dakwa mereka kawasan berkenaan adalah kawasan yang dikategorikan sebagai sangat berisiko tinggi untuk pembangunan.

Iklan
Iklan

Projek mega ini dicadangkan oleh syarikat pemaju melibatkan pembinaan kediaman bertingkat di atas cerun yang terletak hanya beberapa meter dari kediaman sedia ada Empire Residence, khususnya Parcel 5 dan 8.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) Empire Residence, lokasi pembangunan ini berada di atas cerun Kelas IV, kategori cerun paling curam dan tidak stabil.

Iklan

Justeru, mereka mempersoalkan bagaimana projek sebesar ini boleh dicadangkan di kawasan yang sebelum ini pernah ditolak pembangunannya oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada tahun 2020 atas faktor keselamatan.

"Kami telah membuat bantahan sejak tahun 2020 lagi. Cerun ini terlalu curam dan pembangunan di atasnya boleh mendatangkan risiko tanah runtuh yang mengancam nyawa dan harta benda," jelas wakil JMB, Simon Ng.

Iklan

Dalam masa sama, penduduk turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kesesakan lalu lintas jika projek diteruskan.

Dengan anggaran purata lima penghuni bagi setiap unit, pembangunan ini dijangka membawa masuk lebih 3,000 penduduk tambahan menambah tekanan kepada sistem trafik Damansara Perdana yang sudah sedia padat.

"Bayangkan ratusan kenderaan keluar masuk setiap hari di jalan sempit yang dikongsi dengan kami. Ini bukan sahaja mengganggu ketenteraman, malah boleh menjejaskan nilai hartanah kami secara langsung," kata seorang lagi penduduk, Mohamed Hakeem Haron.

Terdahulu, satu sesi taklimat diadakan di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi membentangkan permohonan pindaan pelan guna tanah oleh pemaju.

Penduduk yang hadir memberikan reaksi tegas dan lantang membantah sebarang kelulusan bagi pelan tersebut dan mereka turut menyerahkan salinan bantahan rasmi.

Hakeem menambah, penduduk Empire Residence menyeru agar MBPJ dan agensi berkaitan mengambil kira keselamatan komuniti, sensitiviti alam sekitar, dan implikasi jangka panjang projek tersebut.

"Kami tidak menolak pembangunan, tetapi biarlah di lokasi yang sesuai dan selamat. Jangan korbankan komuniti sedia ada demi keuntungan jangka pendek," tegasnya.