PUTRAJAYA - Kementerian Digital akan mengeluarkan Polisi Pendigitalan Data dalam masa terdekat bagi menyokong penguatkuasaan Akta Perkongsian Data 2025 [Akta 864] yang mula berkuat kuasa pada 28 April lalu.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, polisi itu akan menjadi panduan utama dalam memastikan pelaksanaan pendigitalan data dilakukan secara tersusun dan berkesan di seluruh peringkat kerajaan.
Beliau berkata, inisiatif itu juga selaras dengan usaha reformasi perkhidmatan awam agar lebih cekap, responsif dan inklusif mengikut aspirasi Malaysia Madani.
"Polisi ini menekankan kepentingan pelaksanaan pendigitalan data dalam penyampaian perkhidmatan yang merangkumi aspek tadbir urus kualiti data, etika keselamatan data, penggunaan teknologi penyimpanan dan penggunaan data serta pembudayaan digital dalam pentadbiran.
"Ia bukan hanya dilaksanakan di peringkat agensi Persekutuan tetapi akan turut diperluaskan kepada peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perkongsian Data Negara di sini pada Selasa.
Ujar beliau, perluasan pelaksanaan tersebut penting bagi menjamin kualiti dalam perkongsian data ke arah penggubalan dasar kerajaan yang lebih tepat dan berasaskan maklumat sahih serta terkini.
Katanya, pendigitalan data sepenuhnya oleh kerajaan juga membolehkan analisis data dan teknologi kecerdasan buatan (AI) dimanfaatkan secara optimum dalam pembangunan perkhidmatan digital.
Jelas Gobind, ini seterusnya akan membuka ruang kepada penyelesaian inovatif dan realistik dalam pelbagai sektor, sekali gus memberi manfaat langsung kepada rakyat.
"Melalui Akta Perkongsian Data 2025, jabatan kerajaan akan dapat mengakses data secara masa nyata bagi mempercepat proses membuat keputusan serta menyelaras perkhidmatan awam dengan lebih berkesan.
"Pada masa sama, perlindungan terhadap data kerajaan dan privasi individu tetap tidak akan dikompromi,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Gobind turut menegaskan bahawa pelaksanaan polisi ini akan mendorong kepada tadbir urus berasaskan data dan merangsang pembangunan negara secara menyeluruh.
Katanya, langkah tersebut juga bakal meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam, mengelakkan pertindihan usaha pengumpulan data serta menjimatkan kos.
"Kerajaan berpandukan data akan mampu menggubal dasar yang lebih tepat, melindungi kebajikan rakyat dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.