KUALA LUMPUR - Dana keselamatan sosial berjumlah hampir RM49 juta berjaya diselamatkan sejak 2020 hasil siasatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terhadap kes-kes penipuan faedah.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, sepanjang tempoh tersebut hingga April tahun ini, sebanyak 679 kes yang melibatkan unsur penipuan telah disiasat secara aktif, antaranya membabitkan Skim Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Skim Keilatan dan Program Saringan Kesihatan (HSP).
"Kejayaan ini dicapai hasil siasatan yang membawa kepada keputusan menggantung 383 kes atau 56.5 peratus daripada keseluruhan kes yang disiasat. Ini mencerminkan bahawa tadbir urus dan tata kelola yang tegas mampu memberi impak besar terhadap kecekapan sistem,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama perasmian Seminar Penipuan, Pengelakan dan Kesilapan dalam Tuntutan Keselamatan Sosial dan Insurans anjuran PERKESO dengan kerjasama Pemeriksa Perubatan Bebas Lembaga Amerika (ABIME), di sini pada Selasa.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed serta Presiden dan Pengasas ABIME, Profesor Dr Mohammed Ranavaya.
Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, penipuan faedah kekal sebagai cabaran apabila kerugian sebanyak RM2.1 juta direkodkan sepanjang tahun 2024 yang berpunca daripada tuntutan tidak sah.
"Dalam usaha berterusan mengekang ketirisan dana, PERKESO turut menyemak semula Elaun Layanan Sentiasa (ELS) bagi memastikan kelayakan penerima disahkan secara berterusan.
"Sejak 2020 hingga April lalu, sebanyak 509 kes ELS telah disemak dan 117 kes atau 22.9 peratus dicadangkan untuk digantung, sekali gus menyaksikan penyelamatan dana keselamatan sosial untuk jangka panjang berjumlah lebih RM12.2 juta,” katanya.
Tambah beliau, cabaran penipuan yang kini bersifat global serta didorong oleh mobiliti buruh dan perkhidmatan rentas sempadan memerlukan Malaysia mengamalkan rangka kerja pencegahan menyeluruh yang merangkumi pembaharuan undang-undang, penguatkuasaan tegas, inovasi digital dan komunikasi telus.
Dalam pada itu, Steven Sim turut mengumumkan Datuk Seri Dr Mohammed Azman sebagai penerima anugerah The Lifetime Fellowship of the American College of Independent Medical Examiners (FACIME) dan Master Certified Independent Medical Examiner, sebagai pengiktirafan atas sumbangan beliau dalam bidang perubatan hilang upaya dan kesihatan pekerjaan.
"Anugerah ini bukan sahaja satu penghormatan kepada Datuk Seri Dr Mohammed Azman dan PERKESO, tetapi juga satu kebanggaan kepada Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Malaysia. Ia membuktikan bahawa profesional tempatan mampu meraih pengiktirafan tertinggi di peringkat antarabangsa,” katanya.
FACIME merupakan kelayakan tertinggi dalam bidang Perubatan Hilang Upaya, yang hanya dianugerahkan kepada individu yang mencapai tahap tertinggi dari segi pengetahuan, kemahiran dan kebolehan sebagai Pemeriksa Perubatan Bebas yang berkualiti.