Siasatan teknikal kebakaran paip gas Putra Heights siap 26 Jun - Amirudin

Iklan
Amirudin

SHAH ALAM – Siasatan teknikal berhubung insiden letupan dan kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya dijangka dapat dilengkapkan pada 26 Jun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, siasatan teknikal yang diketuai oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sedang berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kajian itu akan meneliti pelbagai faktor termasuk keutuhan paip, pergerakan tanah dan kemungkinan aktiviti luar yang memberi tekanan kepada sistem bawah tanah.

"Buat masa ini, kita belum dapat mengeluarkan dapatan bagi siasatan jenayah kerana ia perlu digabungkan dengan siasatan teknikal yang sedang berlangsung.

Iklan

"Masih ada ruang-ruang yang perlu dikenal pasti, terutamanya dari sudut teknikal,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan E-Bike kepada Polis Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor di sini, pada Selasa.

Amirudin memberitahu, siasatan teknikal itu turut melibatkan elemen-elemen luar jangka yang berpotensi memberi impak kepada keselamatan awam.

Iklan

"Kita mahu siasatan ini dijalankan secara lengkap dan menyeluruh. Jangan ada ruang yang tertinggal kerana keselamatan penduduk adalah keutamaan,” tegas Amirudin.

Insiden kebakaran tersebut menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan penduduk setempat, termasuk desakan agar siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melengkapkan siasatan berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights, termasuk siasatan membabitkan unsur kecuaian atau khianat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya kini masih menunggu hasil siasatan oleh JKKP yang dijangka dikeluarkan pada penghujung bulan depan.

Beliau berkata, setakat ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Petronas telah membantu pihak polis mendapatkan spesimen yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan.

Dalam insiden pada 1 April lalu, sebanyak 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 lagi separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.