KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, memerintahkan aset luar negara milik isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, dan keluarga bernilai 132 juta pound sterling (RM758.2 juta) dibekukan.
Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa prosiding secara sebelah pihak atau ex-parte.
Dalam prosiding berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat memohon asset Toh Puan Na'imah Abdul Khalid dan keluarganya dibekukan, mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Tujuh aset yang dibekukan kesemuanya di London antaranya ialah dua bangunan komersial, lima kediaman mewah dan satu akaun bank sementara akaun bank itu berdaftar atas nama Yayasan Ilham.
Satu daripada bangunan komersial itu terletak di St Mary Axe, London yang dibeli pada Julai 2013 pada harga 23.7 juta pound sterling (RM136.2 juta) sementara satu lagi di One Crown Court, Cheapside London yang dibeli pada harga 31.5 juta pound sterling (RM181 juta) pada Oktober 2014.
Hartanah lain ialah tiga kediaman mewah yang mana dua daripadanya beralamat di Bryanston Square dan Bryanston Mews dibeli pada 8 Januari 2021 pada harga 37.8 juta pound sterling (RM217.3 juta) dan sebuah lagi beralamat di Lancaster Gate, London dibeli pada 8 Januari 2021 pada harga 31.2 juta pound sterling (RM179.4 juta)
Turut dibekukan, dua kediaman di Gloucester Place yang dibeli pada 8 Januari 2021 pada harga 8.1 juta pound sterling (RM46.5 juta).
Perintah mahkamah itu kini akan dihantar kepada pihak berkuasa United Kingdom untuk pelaksanaan pembekuan aset berkenaan.
Sementara itu, Mahadi ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, jika hasil siasatan dan bukti SPRM mencukupi, pihaknya akan memohon semua hartanah dan akaun berkenaan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.
Mahadi dalam afidavit sokongan menyatakan, hasil siasatan yang dijalankan, berpuas hati bahawa harta alih dan tak alih iaitu berkaitan Seksyen 4(1) Akta AMLATFPUAA.
Beliau menyatakan bahawa alasan yang menyokong dapatan itu adalah siasatan terhadap harta berkenaan yang dimiliki oleh Na'imah dan keluarganya di luar negara di bawah AMLATFPUAA dijalankan oleh pegawai penyiasat SPRM.
Sebelum ini, Ketua Pengarah SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menerima maklumat terbaharu dari agensi luar berkaitan harta dan pemilikan aset bernilai tinggi Allahyarham Daim dan keluarga.
Susulan itu pihaknya membuka lapan kertas siasatan baharu berdasarkan maklumat berkenaan.
Azam berkata, aset berkenaan dikesan di Switzerland dan United Kingdom (UK) serta beberapa negara lain.
Setakat ini, sebanyak RM2 bilion aset dan harta milik Allahyarham sudah dibekukan sejak kes disiasat pada Februari 2023.